Tuesday, 21 March 2017

Benarkah Kerajaan Pulau Pinang PRIHATIN ?


Berikut adalah petikan ucapan penggulungan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Persidangan DUN Pulau Pinang pada tarikh  20 Mei 2016 yang lalu ;

Kerajaan Negeri bertekad untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pilihan utama bagi pelabur, pelancong dan juga bandaraya berdaya huni di Malaysia. Kerajaan Negeri memberikan penekanan kepada tiga bidang utama iaitu tata kelola kerajaan yang baik; membina modal insan; serta membangunkan infrastruktur dan digital connectivity. Dalam usaha ini Kerajaan Negeri telah melaksanakan urustadbir CAT (Cekap, Akauntabel dan Telus) sebagai teras pentadbiran untuk menghadapi 3 cabaran utama yang digariskan sebaik Kerajaan Negeri memenangi tampuk pemerintahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Cabaran 3C adalah cleanliness (kebersihan), crime (jenayah) dan congestion (kesesakan lalulintas). Kemudian timbul pula cabaran membekalkan perumahan awam dan mampu milik. Secara keseluruhan, semua cabaran ini ditangani kecuali masalah kesesakan trafik. Pulau Pinang kini lebih bersih dan selamat atas kerjasama rakyat, pihak berkuasa tempatan MBPP dan MPSP, pihak polis dan sektor swasta.

Mengambil kira dari ucapan tersebut seharusnya Pulau Pinang pada hari ini perlu sekurang-kurangnya berjaya menyelesaikan permasalahan asas yang memberikan kesan langsung terhadap para penduduknya.

Setelah hampir setahun ucapan penggulungan tersebut di buat , kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP dilihat masih lagi gagal untuk mengotakan janjinya apabila isu membabitkan kebersihan masih lagi timbul.

Isu berkenaan pencemaran sungai di bahagian pulau dilihat semakin kritikal dan ianya didedahkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) , Presidennya S.M Mohamed Idris berkata pencemaran itu yang berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu bukan sahaja menyebabkan air kedua-dua sungai berkenaan menjadi hitam pekat dan berlumpur tetapi mewujudkan pemandangan yang kotor serta jijik di samping menimbulkan bau busuk yang meloyakan.

Menurut beliau, masalah itu berpunca daripada pembuangan sisa dari kilang industri, kediaman penduduk, premis perniagaan, bengkel, najis binatang dan najis manusia.

“Berikutan itu kedua-dua su­ngai tersebut mati di bahagian hilir tanpa terdapat apa-apa spe­sies hidupan di dalamnya.

“Malah, tinjauan kita juga mendapati air sungai berkenaan berminyak serta berlumpur dan dipermukaannya dipenuhi sampah sarap serta berbagai bahan buangan yang mendap di dalamnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut S. M. Mohamed, pihaknya ter­kejut kerana terdapat penduduk yang tinggal di kawasan jeti nelayan Sungai Keluang membina tandas dan membuang najis ke dalam sungai tersebut.

Sehubungan itu, beliau bimbang jika keada­an tersebut dibiarkan, ancaman pencemaran ke atas sungai-sungai berkenaan akan berlaku dengan lebih buruk pada masa depan.

“Keadaan ini pastinya boleh menjejaskan kesihatan orang ramai dan mengancam hidupan marin di laut berhampiran.

“Disebabkan itu, kita menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan menjalankan siasatan dan membuat pemantauan yang kerap bagi memastikan pengusaha kilang industri mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974,” katanya.

Isu pencemaran ini sewajarnya mampu diselesaikan memandangkan kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow pada 2014 yang lalu sudah pun merangka pelan tindakan bagi menangani masalah berkaitan.

Dalam kenyataannya beliau berkata faktor yang menyumbang kepada masalah itu ialah pelepasan air buangan dari loji rawatan kumbahan (IWK dan pensendirian), penternakan, restoran, gerai makanan, industri berasaskan pertanian dan larut resap dari tapak pelupusan sisa pepejal.

Beliau berkata, penyumbang lain kepada pencemaran itu ialah struktur atau premis peniagaan yang tidak berlesen.

Menurutnya, itu adalah hasil pengumpulan data inventori pencemaran yang dilakukan pasukan khas diketuai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melibatkan 50 meter dari tebing  kanan sungai.

Sebagai rujukan, kelas empat adalah tercemar dan kelas lima hampir mati. Bagi kedua-dua kelas ini, keadaan air antara lain berbau busuk dan berwarna hitam.

Susulan itu, mesyuarat exco negeri pada ketika itu meluluskan pelan tindakan untuk mengatasi pencemaran di lembangan sungai utama

“Cadangan jangka pendek ialah penguatkuasaan dan pemasangan perangkap makanan, minyak dan gris di restoran dan gerai makanan dan meningkatkan kekerapan kutipan sampah iaitu dua kali sehari oleh pihak berkuasa tempatan.

“Cadangan jangka panjang ialah penempatan semula mengikut zon dan  perobohan, program pemutihan atas aktiviti tanpa kebenaran dan menaiktaraf  loji rawatan kumbahan IWK di lokasi tumpuan pelancong, penguatkuasaan dan pemasangan perangkap sampah di pasar basah dan kompleks makanan,” katanya.

Melalui pelan tindakan itu, beliau berharap untuk mencapai sungai kelas tiga atau dua.

Soalnya apakah rasionalnya pelan tersebut memandangkan sehingga 2017 permasalahan yang sama masih lagi wujud ?

Adakah pelan-pelan tindakan itu telah ditambah baik dan diteruskan atau ianya sekadar gimik politik untuk mengangkat dasar CAT yang diwar-warkan ?

0 comments:

Post a comment