Friday 17 March 2017

Kerajaan Pulau Pinang utamakan rakyat asing



Kerajaan DAP Pulau Pinang diselar kerana terus mem­belakangkan rakyat tempatan apabila menurunkan harga jualan rumah bernilai RM1 juta kepada RM800,000 khusus untuk warganegara asing.

Timbalan Pengerusi Parti Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri Pengerusi Jawatankuasa Peran­cangan Bandar, Desa dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo seperti dilaporkan akhbar berbahasa Cina kelmarin.

Katanya, laporan itu juga menjelaskan kerajaan negeri akan menurunkan cukai tiga peratus untuk jualan bangunan industri bernilai RM1.3 juta kepada 1.5 peratus bagi menggalakkan pembelian dalam kalangan warganegara asing dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kita tidak faham kenapa kerajaan negeri bersungguh-sungguh mahu menjual perumahan dan perindustrian negeri ini kepada rakyat asing.

“Ini menunjukkan mereka ti­dak prihatin kepada nasib rakyat tempatan yang dilaporkan lebih 60 peratus gagal mendapatkan kelulusan pinjaman bank disebabkan gaji tidak melepasi syarat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Difahamkan, perbincangan ke­lu­lusan penurunan harga perumahan dan perindustrian itu akan dibawa dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, Tong Keong mendesak kerajaan negeri mempertimbangkan perkara tersebut dan lebih membela nasib penduduk negeri ini yang menjadi tanggungjawab mereka.

“Siapa yang undi mereka, rak­yat, pemaju atau warganegara asing sehinggakan mereka mengutamakan keuntungan ‘orang luar’ yang populasinya semakin mening­kat di negeri ini,” tegasnya.

Kata beliau, bertambah malang apabila pembinaan perumahan bernilai RM25,000 untuk golongan berpendapatan rendah se­perti dijanjikan masih tidak dapat dilihat di negeri ini.

“Banyak projek tambak laut sedang dilaksanakan dan kita yakin semua pembangunan itu tidak akan menguntungkan rak­yat tempatan,” dakwanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA



0 comments:

Post a Comment