Thursday, 30 March 2017

Kit Siang Tidak Perlu Main Wayang Opera, Lantik Peguam Dan Saman Annuar Musa


KUALA LUMPUR, 29 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang,, Rafizal Abdul Rahim berkata, Penasihat Dap Lim Kit Siang hanya perlu melantik peguam seterusnya mengambil tindakan saman terhadap Ketua Penerangan UMNO Malaysia Tan Sri Annuar Musa sekiranya dakwaan yang dibuat oleh Annuar iaitu Kit Siang seorang rasis adalah satu fitnah.

Jelas beliau, parti Dap tidak perlu bermain wayang opera dengan memperkudakan ahli mereka yang berbangsa Melayu untuk melakukan laporan polis terhadap Annuar.

“Hairan… itulah yang saya rasa sebab sebelum ini Dap dan saman memang tidak boleh dipisahkan. Pantang tercuit pasti tindakan saman akan diambil tapi bila Annuar Musa berulang kali mengeluarkan kenyataan bahawa Kit Siang rasis, mengapa tiada sebarang tindakan yang diambil selain daripada laporan polis oleh ahli Dap berbangsa Melayu.

“Adakah Dap ingin memperalatkan ahli mereka bagi menutup kenyataan sebenar… Apa lagi yang cuba diputar-belitkan oleh Dap bagi mengelirukan rakyat,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Rafizal, rakyat khususnya di Pulau Pinang sentiasa menantikan bilakah Kit Siang mahu mengambil tindakan saman terhadap Annuar kerana inilah peluang untuk Dap menghancurkan kreadibiliti Annuar sebagai Ketua Penerangan UMNO.

“Ini bukan sahaja berkaitan kredibiliti Annuar sebagai Ketua Penerangan tetapi imej UMNO akan turut tercalar… Ini juga peluang untuk membuktikan bahawa Dap tidak rasis.

“Jadi persoalan yang timbul kini, mengapa bila ada peluang sebegini Kit Siang terus kunci mulut dan tidak mengambil tindakan.

“Inilah persoalan yang bermain di fikiran rakyat. Ia agak pelik bila bulan jatuh ke riba tetapi Dap enggan menerima,” katanya lagi.

Annuar Musa sebelum ini mencabar Kit Siang untuk menyaman dirinya ekoran kenyataannya yang mengatakan bahawa Dap adalah sebuah parti diktator, rasis dan anti Islam.

Jelasnya, jika sebelum ini kenyataan tersebut disuarakan di dalam parlimen dan dirinya dilindungi kekebalan berparlimen kini kenyataan tersebut diulang di luar parlimen dan sekiranya Kit Siang merasakan itu adalah satu fitnah maka segeralah mengambil tindakan saman. -MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment