Sunday 26 March 2017

Penduduk Balik Pulau Bimbang Lambakan Monyet Liar & Ular


Kebimbangan kini hadir dari kalangan penduduk Balik Pulau , Pulau Pinang apabila kawasan mereka kini menjadi tempat lambakan monyet-monyet liar dan ular yang semakin bertambah.

Perkembangan ini sudah tentunya akan menyebabkan penduduk di kawasan terbabit tidak selesa memandangkan kehadiran haiwan-haiwan liar ini boleh menyebabkan berlakunya kecederaan serius selain ketakutan kepada mereka-mereka yang terlibat dalam bidang pertanian.

Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, YB Muhammad Farid Saad berkata dia mendapat tahu daripada penduduk tempatan bahawa mereka telah melihat Jabatan Perhutanan melepaskan monyet di kawasan hutan bakau di Balik Pulau.

"Saya berharap Jabatan Perhutanan akan menjelaskan perkara ini kerana tindakan ini telah membawa banyak masalah kepada penduduk Balik Pulau yang tinggal berhampiran paya bakau, ladang kelapa sawit dan hutan sekitarnya," kata wakil Umno itu dalam satu kenyataan hari ini.

"Saya juga dimaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat juga telah bertindak untuk melepaskan ular yang telah ditangkap di kawasan-kawasan hutan yang sama," katanya.

"Saya harap hutan dan kawasan semula jadi Balik Pulau tidak dijadikan pusat pembuangan haiwan yang berbahaya dan tidak dimahukan," katanya.

Farid berkata, beliau telah beberapa kali menerima aduan daripada penduduk tentang kerosakan yang kerap berlaku ke atas taman-taman mereka, makanan dan harta yang diakibatkan oleh monyet liar yang hidup bebas di kawasan itu.

"Pada mulanya saya fikir pertambahan kehadiran monyet-monyet liar ini adalah disebabkan oleh pembiakan semula jadi," katanya.

"Bagaimanapun selepas beberapa penyiasatan, pertambahan monyet-monyet liar ini berlaku disebabkan oleh aktiviti pemindahan dari tempat lain ke Balik Pulau."

0 comments:

Post a Comment