Seramai 1200 penduduk di sekitar Sungai Acheh , Nibong Tebal dan kawasan-kawasan yang lain hadir ke Program Ceramah Perdana yang disampaikan oleh Ybhg Datuk Ustaz Kazim Elias yang diadakan di perkarangan Masjid Qariah Seri Ampangan , Sungai Acheh semalam.
Program anjuran Pusat Khidmat Adun Sungai Acheh itu berjalan dengan lancar dan mencapai objektifnya untuk mengeratkan lagi hubungan sesama penduduk melalui program ilmu tanpa mengira latar belakangan politik.
YB Dato' Haji Mahmud Bin Haji Zakaria , Adun Sungai Acheh sewaktu ditemui berkata beliau melahirkan rasa terima kasihnya kepada semua pihak yang memberikan sokongan untuk menjayakan program tersebut.
"Saya melahirkan berbanyak-banyak terima kasih kepada rakan-rakan penaja yang turut membantu program ini lebih-lebih lagi kepada pihak jawatankuasa Masjid Seri Ampangan ini yang telah memberi kerjasama yang cukup baik."
"Ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Kazim tadi walaupun dalam keadaan yang berjenaka tetapi ia tersirat dengan perkara berkait dengan ilmu itu sendiri termasuk ilmu dunia dan akhirat , Saya yakin banyak intipati ceramah yang disampaikan tadi akan memberikan satu keinsafan dan kesedaran kepada hadirin yang hadir pada malam ini lebih-lebih lagi pada soal perpaduan ummah itu."
"Ustaz Kazim berpesan sebagai orang Islam sebenarnya kita sama dari segi sembahyang , kita satu kiblat , rukun Islam rukun yang sama , rukun iman rukun yang sama jadi mengapa kita harus berpecah ? Soal politik hanya sementara , waktu mengundi mengundilah kenapa perlu kita berpecah selepas mengundi kita perlu bersatu membangun ummah dan buat kerja untuk membangunkan negara."
"Jadi saya menyeru kepada semua sahabat-sahabat seluruh umat Islam marilah kita kembali bersatu yang penting kita nak jaga , membela agama kita , bangsa kita terus berdaulat di negara yang kita cintai ini."
Program Ceramah Perdana itu turut dihadiri oleh Mohd Nor Hiesyam Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu Sham , Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal yang turut gembira dengan sokongan semua pihak khususnya para penduduk di Sungai Acheh.
Beliau berkata program-program keagamaan seperti ini sememangnya merupakan program yang cukup baik khususnya bagi menarik masyarakat untuk berhimpun , bermuafakat dan bersatu padu sebagai orang Islam.
"Kita harap program seperti ini akan dapat diteruskan khususnya ianya akan menjadi tunjang dan juga kekuatan kepada perjuangan untuk menyatupadukan semua masyarakat berbeza pandangan politik khususnya orang Islam yang ada dikawasan ini dan di negeri ini."
0 comments:
Post a Comment