Friday 24 March 2017

UMNO Permatang Pauh Terus Perkasa Institusi Pendidikan & Islam


Atas kesedaran bahawa ilmu itu adalah perkara terpenting dalam membina sahsiah diri agar menjadi seorang insan yang berguna maka UMNO Bahagian Permatang Pauh diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian , Datuk Mohd Zaidi Mohd Said hari ini turun menyampaikan bantuan serta sumbangan kepada sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Selain memberikan tumpuan terhadap institusi pendidikan , UMNO Bahagian Permatang Pauh juga turut menyampaikan sumbangan kepada semua masjid dalam Parlimen Permatang Pauh sebagai usaha untuk terus memperkasakan institusi Islam.

Majlis yang berlangsung di Ixora Hotel Perai itu melibatkan 28 buah masjid dengan setiap satunya menerima peruntukan sebanyak RM10,000.00 menjadikan jumlah keseluruhan RM280,000.00 manakala 15 buah sekolah menengah masing-masing menerima RM10,000.00 dan 21 buah sekolah rendah masing-masing menerima RM15,000.00.

Jumlah keseluruhan yang diperuntukkan UMNO Bahagian Permatang Pauh kepada 28 buah masjid , 15 buah sekolah menengah dan 21 sekolah rendah itu berjumlah RM745,000.00 

Majlis yang dihadiri oleh Pengerusi-Pengerusi Masjid , Guru Besar , Pengetua serta Pengerusi Persatuan Ibu Bapa & Guru itu berjalan dalam keadaan yang cukup mesra seterusnya membuktikan komitmen UMNO Bahagian Permatang Pauh untuk terus memperkasakan Institusi Pendidikan dan Institusi agama Islam khususnya melibatkan sekolah dan masjid-masjid di Permatang Pauh.

Turut hadir adalah Naib Ketua UMNO Bahagian , Setiausaha UMNO Bahagian , Ketua Penerangan UMNO Bahagian , Ketua Wanita dan Ketua Pemuda UMNO bahagian tersebut iaitu Aziz Sheikh Ahmad , Suhaimi Sabudin , Hassan Mohammad , Rosni Salleh dan Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin.

0 comments:

Post a Comment