Monday 24 April 2017

Dakwaan BERSATU Sekadar Perang Psikologi


TASEK GELUGOR - Umno Tasek Gelugor tidak gusar dengan kehadiran Bersatu malahan serangan terhadap parti itu sebelum ini dianggap sebagai satu perang psikologi sahaja.

Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, Bersatu tidak membawa sokongan yang besar dalam masyarakat.

“Umno Tasek Gelugor tidak merasa kegusaran dan kebimbangan tentang penularan parti berkenaan di sini, dan tindakan mereka dengan menguar-uarkan bahawa mereka telah bertapak di sini adalah satu perang psikologi.

“Baru-baru ini difahamkan mereka mengadakan program, namun kehadiran penduduk tidak sampai 100 orang sedangkan majlis tersebut dihadiri peringkat atasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kesejahteraan Rakyat Kesukarelaan, Kesedaran Kesihatan dan Hari Ladang Peringkat Kadun Sungai Dua di Guar Kepayang, Sungai Dua, semalam.

Katanya, seharusnya Bersatu sedar akan perkara ini dan tidak perlu menghabiskan masa mempengaruhi rakyat.

“Rakyat sudah faham kaedah yang menjadi asas dalam perjuangan sesebuah parti politik itu,” katanya.

Menurutnya, Bersatu dilihat sebagai sebuah parti yang begitu rapuh dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

“Apa yang diuar-uarkan mereka hanyalah untuk menjatuhkan Perdana Menteri itu saja. Dalam soal ini, jika kita lihat, sekiranya parti yang diasaskan atas dasar amarah, balas dendam dan tiada hala tuju biasanya terkubur dalam usia yang singkat.

“Kita tengok perkembangan di seluruh Malaysia misalnya di Negeri Sembilan, Johor dan juga di tempat-tempat lain ramai lagi mereka yang keluar dan ada sehingga jadi pengasas pun sudah keluar dari parti tersebut, pada saya dalam soal sebegini sepatutnya mereka memikirkan tentang keadaan itu dan bermuhasabahlah,” katanya.

sumber - sinar

0 comments:

Post a Comment