Monday 3 April 2017

DAP Gagal Atasi Masalah Banjir


BUKIT MERTAJAM: Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini, dibidas kerana gagal menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di negeri itu, walaupun hampir 10 tahun mengambil alih pentadbiran. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, berkata sebelum DAP mengambil alih Pulau Pinang, parti itu lantang mempertikaikan kredibiliti kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menyelesaikan isu banjir di negeri ini. 

"Kalau 10 tahun lalu, DAP begitu lantang mengutuk Kerajaan BN kerana didakwa gagal mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku, selain mendesak rakyat Pulau Pinang memilih parti itu yang kononnya akan menyelesaikan isu banjir di negeri ini.

"Tetapi selepas 10 tahun DAP mentadbir, banjir kilat yang berlaku di negeri ini semakin buruk dan terbaharu kejadian banjir kilat malam tadi. Justeru, saya harap kerajaan negeri segera mengadakan pelan mitigasi banjir di negeri ini yang mana kosnya tidak terlalu tinggi seperti Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang menelan belanja berbilion ringgit," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sumbangan Petrol Percuma kepada 1,000 penunggang motosikal anjuran Pemuda UMNO negeri ini, di stesen minyak Tasek Mutiara, di sini, hari ini. 

Semalam, hujan lebat selama dua jam dan angin kencang yang berlarutan sejak jam 7 malam, menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Georgetown. 

Antara kawasan terbabit ialah, Lorong Batu Lanchang, Jalan P Ramlee, Sungai Pinang, Jalan Taman Free School, Jalan Bukit Relau, Sungai Ara, Paya Terubong, Greenlane, Jalan Masjid Negeri, Sungai Nibong, Bukit Jambul dan Farlim. 

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, kerajaan negeri wajar memperuntukkan RM1 bilion hingga RM2 bilion untuk mengadakan pelan tebatan banjir demi keselesaan penduduk negeri ini.

sumber - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment