Peluang jawab isu sepanjang 51 tahun terajui parti
BUTTERWORTH 10 April - Penasihat DAP, Lim Kit Siang diingatkan supaya ‘tidak lari’ dan menerima cabaran debat yang dilontarkan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
Bekas Setiausaha Publisiti DAP Cawangan Bagan Luar, G. Asoghan berkata, debat itu sekiranya menjadi kenyataan, akan memberi peluang kepada rakyat serta ahli DAP mengetahui agenda sebenar perjuangan parti politik itu.
Dalam masa sama, beliau bersetuju dan menyokong debat antara pemimpin dan bekas pemimpin DAP itu kerana sejak sekian lama pelbagai isu telah dibangkitkan terhadap Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut termasuk dakwaan bersikap diktator sepanjang 51 tahun menerajui DAP.
“Ketika awal penubuhan, DAP mengamalkan prinsip demokratik dalam tindak-tanduknya namun selepas diambil alih oleh Dinasti Lim, parti berkenaan berubah menjadi antidemokratik.
“Malah, pemimpin-pemimpin parti itu sendiri akan disingkirkan jika dilihat mampu menggugat kedudukan pemimpin utama sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Asoghan mengulas cabaran Tunku Abdul Aziz terhadap Kit Siang baru-baru ini supaya mereka berdua berdebat tentang dasar dan pemerintahan diktator yang menjadi asas perjuangan parti berkenaan.
Tunku Abdul Aziz berkata, cabaran itu dikemukakan berikutan keputusan Kit Siang melantik orang Melayu untuk menduduki kerusi jawatan Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP.
Mengulas mengenai dakwaan bersikap diktator, Asoghan berkata, ramai pemimpin DAP telah menjadi mangsa termasuk beliau sendiri yang dipecat pada tahun 2013.
“Ini menunjukkan tiada langsung demokrasi di dalam DAP dan parti itu hanya dikuasai seorang diktator dan rakyat perlu mengetahuinya,” kata beliau.
Sementara itu, Asoghan berkata, terdapat beberapa pemimpin DAP yang menjadi wakil rakyat di negeri ini dan Selangor kini berada dalam senarai untuk disingkirkan oleh pimpinan diktator parti berkenaan.
“Ini kerana pemimpin yang bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen itu dilihat mempunyai karisma sekali gus boleh membayangi Dinasti Lim,” katanya.
0 comments:
Post a Comment