Usul yang bakal dibuat bagi mendesak Lim Guan Eng meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bukan satu usul retorik, kata Ketua Pembangkang negeri itu, Datuk Jahara Hamid.
Menurut Jahara, UMNO negeri itu melakukan tindakan sebagai mewakili rakyat yang mahukan ketelusan dalam urus tadbir kerajaan negeri.
“Sekarang kita dah dapat tarik perhatian rakyat tentang keperluan usul tersebut. Guan Eng cuba menunjukkan kuasa sahaja apabila dia kata jika tidak mahu meletakkan jawatan atau cuti itu adalah kuasa dia”
“Jadi mereka dah melanggar apa yang mereka sendiri cakap iaitu ketelusan dalam pentadbiran, ini apa yang kami ingin terangkan kepada rakyat Pulau Pinang, bahawa pemimpin mereka ini cakap tidak serupa bikin” katanya kepada sebuah portal berita, Jumaat.
Beliau (foto) juga berkata, usul itu juga menyerlahkan kelemahan DAP yang menganggap mereka parti ‘sempurna’.
“Mereka banyak mengutuk orang tetapi mereka tidak nampak kekurangan diri sendiri” ujar ADUN Teluk Ayer Tawar.
Baru-baru ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri itu, Datuk Seri Zainal Abidin Osman dilaporkan berkata akan membawa usul untuk mendesak Guan Eng meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri pada sidang DUN yang akan datang.
Usul yang bakal dibuat adalah berikutan kedudukan Guan Eng yang sedang berhadapan dengan dua tuduhan rasuah, termasuk pembelian banglo di bawah nilai pasaran di negeri itu.
0 comments:
Post a Comment