Friday 7 April 2017

Guan Eng Patut Cermin Diri


BUKIT BENDERA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seharusnya mencermin diri sendiri sebelum menyarankan agar Barisan Nasional (BN) memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya ekoran kenyataannya di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Jelas beliau, jika Guan Eng sendiri tidak berani meletak jawatan setelah didesak pelbagai pihak ekoran terpalit skandal rasuah, maka dia patut ‘duduk diam diam’ dan hilang ‘kelayakan’ untuk mendesak mana-mana parti pun untuk memecat pemimpin mereka.

“Sebelum dia desak BN pecat Shabudin dia harus lihat dirinya dulu. Janganlah nak menyibuk hal orang lain.

“Kalau dia sendiri tidak berani untuk letak jawatan maka jangan sibuk hal parti lain. Lagi pula, sebagai seorang yang berjawatan Ketua Menteri, dia seharusnya menyelidiki sesuatu berita sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Maka tidak hairanlah jika sikap pemimpin Dap yang lain juga suka melakukan provokasi dan menyampaikan berita yang tidak betul kerana ‘bos’ mereka juga begitu,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Rafizal, Guang Eng sebenarnya dilihat menggunakan isu ini untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu rasuah yang sedang dihadapi dirinya.

“Jadi walaupun isu ini tidak benar maka ia dijadikan senjata untuk alih perhatian. Ini memang kepakaran Dap… tapi sayangnya rakyat sudah masak dengan taktik ini.

“Malah bila dia bersuara agar BN mengambil tindakan kepada Shabudin, ia amat memualkan kerana jelas kelihatan sikap tidak sedar diri,” tempelak Rafizal.

Baru-baru ini Shabudin membahas usul bagi menolak cadangan dan pindaan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kulai untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur 16 tahun namun sayangnya kenyataan tersebut telah disalah erti.

Apa yang ingin disampaikan oleh Shahbudin sebenarnya adalah dalam kes ‘statutory rape’ iaitu atas dasar persetubuhan yang dipersetujui bersama namun pasangan di bawah umur. Bagi menutup malu selalunya pihak keluarga akan menyelesaikannya dengan cara perkahwinan. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment