Monday 3 April 2017

Jambatan Ketiga Atau Terowong ? Henti Main Politik "Cap Ayam"


NIBONG TEBAL, 3 April – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail mendesak agar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhenti bermain politik cap ayam berkaitan isu dokumentasi bagi kelulusan jambatan ketiga negeri itu.

Jelas beliau, Setiausaha Agung Dap yang belum disahkan jawatan itu seakan menggunakan isu kelulusan ini bagi menutup kepincangan kos pembinaan terowong dasar laut yang sehingga kini masih tidak ada sebarang jawapan.

“Sekarang ini yang menjadi persoalan apa sebenarnya yang kerajaan Dap Pulau Pinang mahu buat… meneruskan pembinaan jambatan ketiga ataupun terowong dasar laut?

“Sekiranya mahu meneruskan pembinaan jambatan ketiga maka hantarlah dokumen segera… jangan sekadar hanya melepas batuk ditangga dan Guan Eng juga perlu jawab bagaimana pula dengan kos yang telah dikeluarkan untuk kajian terowong dasar laut.

“Ini adalah projek yang melibatkan duit rakyat. Saya lihat Dap ini lebih kepada berpolitik dan menabur janji tetapi hitam putihnya gagal,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Norhiesam, Kementerian Kerja Raya telahpun menunjukkan kesungguhan untuk membantu mengatasi masalah kesesakan yang dialami oleh Pulau Pinang tetapi kini kerajaan negeri pula yang seakan berdolak-dalik dan tidak berpendirian.

“Asyik berbalas kenyataan dengan menteri buat apa… sekarang ini masalah dokumentasi dan ini jelas menunjukkan masalah berpunca daripada kerajaan negeri.

“Ini bukan projek cap ayam… jadi berhentilah tuding jari ke pihak lain dan tunjukkan kesungguhan segera,” bidasnya lagi.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa sehingga hari ini kementeriannya masih belum menerima walau sehelai kertas sokongan bagi menyokong permintaan kerajaan negeri mengenai kelulusan jambatan ketiga Pulau Pinang dan bukannya terowong bertol selama 30 tahun.

Guan Eng pernah menghantar permohonan dan selepas kementerian itu meminta dokumen sokongan sebanyak lima kali, Guan Eng mengakui pada Ogos 2016 kajian itu masih belum siap dan akan menghantar hasil kajian tersebut pada penghujung tahun lepas atau awal tahun ini dan kini suku pertama sudah tamat dan melepasi tarikh akhir yang disebutkan. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment