Saturday 1 April 2017

Jambatan Ketiga : Rakyat P.Pinang Sudah Jemu Dengan Drama ‘Dramatic Actions Politicians’ DAP


KEPALA BATAS, 31 Mac – Pengarah Strategik UMNO Kepala Batas, Azizi Safar berkata, Kerajaan Dap Pulau Pinang harus memberi keputusan muktamad sama ada mereka mahu membina jambatan ketiga yang kos pembinaannya lebih rendah dari kos pembinaan terowong dasar laut atau meneruskan dengan cadangan asal untuk membina terowong dasar laut itu.

Jelas beliau, kerajaan negeri tidak perlu terus berdrama dan berbolak-balik dengan memberi pelbagai alasan berhubung kelewatan perlaksanaan projek tersebut.

“Jika kerajaan negeri serius dan benar-benar mahu membina jambatan ketiga dan menjadikannya satu laluan bebas tol, mereka seharusnya menghantar segala dokumentasi yang menyokong cadangan itu termasuk kajian kebolehlaksanaan projek yang yang dikatakan telah 83 peratus siap kepada Kementerian Kerja Raya untuk dipertimbangkan bagi membolehkan persetujuan secara dasar diberi.

“Sekiranya kerajaan negeri gagal untuk mengemukakan segala dokumentasi yang diperlukan dan kajian kebolehlaksanaan jambatan yang dicadangkan itu, maka kesalahan atau kegagalan adalah jelas di pihak Kerajaan Dap Pulau Pinang. Tolonglah… rakyat Pulau Pinang sudah jemu dengan drama oleh ‘Dramatic Actions Politicians’ dari Dap,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Tambah Azizi, justeru persoalan utama yang perlu dijawab oleh Kerajaan Dap Pulau Pinang ialah adakah wujud keperluan mendesak untuk membina laluan hubungan ke empat antara Tanah Besar dan Bahagian Pulau sedangkan Jambatan kedua yang baru siap dibina masih di bawah kapasiti lagi pula sudah ada tiga hubungan antara pulau dan Tanah Besar.

“Sudahkah kerajaan negeri memuktamadkan di mana ‘landing’ atau jalan tuju ke jambatan tersebut di Bagan Ajam? Apakah ia akan terletak di kawasan yang sedang dalam perancangan untuk ditambak laut di persisir Bagan Ajam? Apakah jambatan ketiga ini akan disambungkan ke Projek Lingkaran Luar Butterworth (BORR)? Apakah kesannya kepada penduduk-penduduk di Bagan Ajam terutamanya penghuni flat kos rendah Taman Tun Dr Awang?

“Ini adalah sebahagian isu-isu yang perlu ditangani terlebih dahulu oleh kerajaan negeri sebelum mencadangkan jambatan ketiga atau hubungan ke empat di antara Tanah Besar dan Bahagian Pulau,” katanya lagi.

Baru-baru ini Kementerian Kerja Raya menawarkan untuk membantu kerajaan negeri Pulau Pinang, yang gagal mengemukakan kertas kerja yang diperlukan untuk projek Jambatan Pulau Pinang yang ketiga.

Ini kerana, sehingga hari ini kerajaan negeri Pulau Pinang masih gagal menyerahkan kertas kerja dan segala dokumen yang diperlukan untuk penilaian pihak kementerian. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment