Sunday 23 April 2017

kesal dengan sikap sambil lewa DAP terhadap isu kontroversi mengaitkan dua pemimpin Melayunya, Zairil Khir Johari dan Dyana Sofya Mohd Daud.


SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid kesal dengan sikap sambil lewa DAP terhadap isu kontroversi mengaitkan dua pemimpin Melayunya, Zairil Khir Johari dan Dyana Sofya Mohd Daud.

Ujar Jahara, Lim Guan Eng sebagai Setiausah Agung parti tidak sepatutnya lepas tangan dan tidak menganggap ia isu peribadi dan diselesaikan secara tertutup.

Menurutnya lagi, rakyat mahu tahu lebih-lebih lagi Zairil dan Dyana adalah Melayu dan beragama Islam.

”Jadi sebagai pemimpin yang disokong oleh rakyat, beliau kena sentiasa membersihkan nama (DAP) kalau terpalit.

“Kita kena nampak bersih, bukan saja kita kata kita bersih kita bermoral, tapi kita kena nampak bersih dan bermoral,” ujarnya ketika dihubungi Antarapos.

Minggu lalu, Zairil dan Dyana sekali lagi dihambat kontroversi apabila tersebar secara meluas beberapa keping gambar seorang lelaki dan wanita mirip mereka, dalam keadaan mesra.

Kedua-duanya menafikan ada kaitan dengan gambar tersebut dan menyifatkan ia serangan peribadi.

"Saya rasa (kena bezakan) urusan peribadi dengan urusan kepentingan awam. Walaupun mereka kata itu urusan peribadi atau keluarga, rakyat mahu tahu. 

"Sebab sebagai ketua, kamu kena melangkaui isu-isu moral sebegini," tegas Jahara.

Ini bukan kali pertama Zairil dan Dyana terpalit dengan dakwaan sebegini.

Sebelum itu, mereka juga dikaitkan dengan gambar mesra seorang lelaki dan wanita dalam sebuah kereta selain dikaitkan dengan rakaman video sepasang kekasih sedang menari di sebuah kelab, yang tidak dinyatakan lokasinya.

Terdahulu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata Zairil sudah memberi penjelasan kepada pucuk pimpinan parti.

Malah Guan Eng berkata beliau tidak akan membuat sebarang komen mengenai perkara itu.

0 comments:

Post a Comment