Saturday 1 April 2017

Komited Naik Taraf Masjid


PERMATANG PAUH - Umno Permatang Pauh komited dalam membantu pembangunan institusi masjid di dalam parlimen ini bagi memastikan keselesaan anak-anak kariah.

Ketuanya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa masjid yang memerlukan pengubahsuaian dan pembinaan semula selain telah menyiapkan Masjid Timah yang sekian lama dahagakan pembaharuan.

Menurutnya, Masjid Padang Lalang, Masjid Permatang Batu dan Masjid Papan Kampung Pertama memerlukan pembinaan semula dan pengubahsuaian secara besar-besaran bagi menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah.

“Kita juga menyiapkan 60 peratus kerja-kerja pengubahsuaian bagi Masjid Kubang Ulu selain mengenal pasti keperluan masjid baharu di kawasan perkampungan Mengkuang Titi.

“Saya berharap masyarakat di Permatang Pauh menyokong usaha yang kita lakukan ini untuk merealisasikan impian mereka mendapatkan masjid baharu yang lebih selesa,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan kepada 28 masjid dalam Parlimen Permatang Pauh, di sini.

Dalam majlis berkenaan, setiap kariah masjid menerima sumbangan RM10,000 bagi kegunaan aktiviti dan program di kawasan masing-masing.

Sebelum ini, Umno Permatang Pauh turut menyumbangkan RM10,000 kepada setiap masjid di kawasan berkenaan untuk digunakan bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Mohd Zaidi turut bersama kira-kira 200 jemaah Masjid Jamek Kuala Mengkuang menyertai Program Kayuhan Klasik bagi mengeratkan silaturahim dengan masyarakat setempat.

Selain itu, program berkenaan diadakan bagi mengumpul dana untuk kerja-kerja menaik taraf kemudahan masjid berkenaan.

sumber - Sinar 

0 comments:

Post a Comment