Kenyataan Media
Datuk Seri Zainal Abidin Osman
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Negeri Pulau Pinang
Rabu 19 April 2017
"Lebih banyak kerosakan dan malapetaka akan terus berlaku di Pulau Pinang jika Kerajaan DAP terus diberi kuasa mutlak perintah Pulau Pinang"
Kenyataan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang disiarkan oleh portal media The Malay Mail Online dengan tajuk “Guan Eng claims ‘disastrous’ for Penang if BN retakes state in GE” (http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/guan-eng-claims-disastrous-for-penang-if-bn-retakes-state-in-ge) adalah dirujuk.
“Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak perlu menakut-nakutkan rakyat Pulau Pinang dengan berkata jika BN kembali jadi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, semua yang dia lakukan sejak 2008 akan hilang dan lenyap. Itu tidak tepat.”
“Pesisir pantai Gurney Drive tidak akan kembali seperti asal selepas penambakan dilakukan oleh Kerajaan DAP. Semua renovasi ke atas KOMTAR tidak akan hilang dan lenyap dan KOMTAR tidak akan kembali kepada keadaan asalnya. Walaupun jika dirungkas atau dirombak (dismantled) semua penambahan yang dilakukan oleh syarikat konsesi dengan persetujuan Kerajaan Negeri, KOMTAR tidak akan kembali kepada keadaan asalnya. KOMTAR sudah dicabul keaslian rekabentuknya.”
“Kawasan bukit-bukau dan alam sekitar yang hijau dirogol, dijarah dan dimusnahkan secara haram atau dengan kebenaran Kerajaan Negeri tidak akan kembali kepada asalnya. Kawasan bukit yang dulunya hijau kini menjadi botak bukan semasa kerajaan BN tetapi di bawah pimpinan Lim Guan Eng. Malah istilah ‘bukit botak” menjadi terkenal sejak Lim Guan Eng jadi Ketua Menteri dan DAP jadi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.”
“Kejadian banjir kilat juga lebih kerap berlaku. Penduduk-penduduk di kawasan-kawasan yang dahulunya tidak pernah mengalami banjir kilat, kini terpaksa mengharungi banjir jika berlaku hujan lebat selepas DAP jadi Kerajaan Negeri. Bilangan kejadian dan kawasan terlibat juga bertambah seiring dengan tempoh masa DAP jadi Kerajaan Negeri.”
“Kejadian tanah runtuh, jalan runtuh, ‘air terjun segera’ berdekatan kawasan-kawasan kediaman dan perumahan rakyat juga semakin kerap berlaku. Ini adalah antara malapetaka atau “disasters” yang datang bersama Kerajaan DAP di Pulau Pinang sejak 2008.”
“Mengenai PKR, mereka hanya penumpang dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kuasa sebenar di tangan pemimpin DAP sahaja. Tindakan Empat ADUN PKR yang berkecuali dalam pengundian Usul yang dibawa oleh ADUN BN Pulau Betong pada Sidang DUN tahun lalu adalah bukti mereka juga tidak bersetuju dengan kerosakan dan kemusnahan alam sekitar yang berlaku di bawah pemerintahan Kerajaan DAP di Pulau Pinang.”
“Kerajaan Barisan Nasional dan sebelum dari itu Perikatan telah meletakkan asas-asas yang kukuh kepada pembangunan Negeri Pulau Pinang dari segi ekonomi, infrastrukur dan juga sosialnya sejak Merdeka. Pulau Pinang yang ada sebelum Mac 2008 adalah hasil usaha kerajaan negeri BN dan Perikatan terdahulu. Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya membuat sedikit penambahbaikan apa yang ada sahaja; seumpama ‘rumah sudah siap dibina oleh BN, DAP hanya tukar langsir dan cat serta perabot dalamannya sahaja.”
“Rakyat Pulau Pinang atau lebih tepat pemilih/pengundi di Pulau Pinang perlu berani untuk mengambil tindakan ‘menyelamatkan’ Pulau Pinang dari kerakusan kuasa DAP di Pulau Pinang bagi mengelakakan malapetaka yang telah dan sedang berlaku dari terus berlaku di masa hadapan di bawah Kerajaan DAP. Pemilih Pulau Pinang perlu ambil pendirian untuk mengundi pembangkang yang lebih kuat kepada Kerajaan DAP di Pulau Pinang, sekaligus menafikan majoriti dua pertiga (2/3) yang dinikmati oleh DAP sekarang.”
Selamatkan Pulau Pinang
Terima kasih
0 comments:
Post a Comment