Friday 28 April 2017

Pemuda Tasek Gelugor Cabar PPBM Buat Demo Desak Lim Guan Eng Letak Jawatan


TASEK GELUGOR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugur, Mohd Nashrol Hisham Abdullah mencabar Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tasek Gelugor Datuk Shariff Omar untuk mengadakan demonstrasi terhadap salah laku Ketua Menteri pujaannya iaitu Lim Guan Eng agar meletak jawatan sebelum mencadangkan Pemuda UMNO mengadakan demonstrasi berkaitan isu 1MDB.

Beliau turut melahirkan kemusykilan terhadap sikap Shariff Omar yang dulunya begitu lantang mengkritik Dap tetapi kini mengagungkan parti itu.

“Isu 1MDB telah diberikan penjelasan sejelas-jelasnya tetapi pembangkang sengaja tidak mahu memahami atau menerima sebarang penjelasan.

“Tetapi isu rasuah Guan Eng telah dihadapkan ke mahkamah dan sebagai seorang yang bertanggungjawab sepatutnya Guan Eng harus melepaskan jawatan sebagai ketua menteri maka Shariff Omar sepatutnya menggesa ketua menteri kesayangannya untuk letak jawatan.

“Shariff Omar ini ibarat sesumpah yang boleh bertukar warna… dalam sekelip mata parti yang dulunya dikritik hebat kini di sanjung hanya kerana mempunyai agenda peribadi,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini.

Dalam kenyataan yang sama, Nashrol turut memohon penjelasan daripada Shariff Omar terhadap ucapan yang dibuatnya di Pokok Machang yang menuduh Pemuda UMNO mendapat tanah milik Perda.

“Saya ingin memohon penjelasan daripada Shariff, Pemuda mana yang beliau maksudkan.

“Seandainya ucapan beliau merujuk kepada Pemuda Tasek Gelugur saya ingin meminta beliau agar kemukakan bukti dan membuat laporan polis dengan kadar segera agar siasatan secara menyeluruh dapat dijalankan.

“Saya bersedia pada bila-bila masa untuk disiasat jika ucapan beliau itu merujuk kepada Pemuda Tasek Gelugur,” katanya lagi.

Tambah beliau, sekiranya Shariff tidak mengemukakan bukti atau membuat sebarang laporan polis, maka terbuktilah apa yang diucapkan itu adalah satu fitnah yang amat jahat dan dendam beliau yang amat menebal terhadap kepimpinan UMNO bahagian Tasek Gelugur.

0 comments:

Post a Comment