Saturday 8 April 2017

Pendemo DAP Silap Tempat - Presiden ABATA


KUALA LUMPUR, 7 April – Presiden Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Azrinizam Ibrahim menyelar tindakan penyokong upahan Dap yang berdemo mendesak Datuk Shabudin Yahaya meletakkan jawatan hanya kerana kenyataan beliau disalah laporkan, namun  menutup mata dengan isu rasuah pembelian banglo Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang sudah pun didakwa di mahkamah baru-baru ini.

Tegas beliau, pendemo tersebut sepatutnya berdemo untuk meminta Lim Guan Eng meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang memandangkan Guan Eng sudahpun didakwa di mahkamah, namun masih berdegil tidak mahu meletakkan jawatannya.

“Mereka berdemo hanya kerana kenyataan YB Datuk Shabuddin Yahaya, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dimanipulasikan oleh media. Dan Datuk Shahbudin juga telah menjelaskan bahawa kenyataan itu telah dimanipulasi, malah video penuh kenyataan Datuk Shabuddin tersebut telah pun tular di media sosial. Mereka yang berdemo barangkali tidak membaca dengan habis, suka baca tajuk sahaja.

“Mendesak Datuk Shabuddin meletak jawatan kononnya atas sebab kenyataannya itu adalah tidak wajar sama sekali kerana laporan akhbar yang memetik kenyataan beliau tidak benar dan dimanipulasikan. Sepatutnya, mereka ini mesti mendesak Guan Eng letak jawatan sebagai Ketua Menteri terlebih dahulu

“Ini kerana, kenyataan Datuk Shabudin terbukti dimanipulasikan dan beliau tidak bersalah di dalam hal ini namun Guan Eng, sudah pun didakwa di mahkamah dan sedang menjalani perbicaraan. Sepatutnya Guan Englah yang mesti didesak untuk meletakkan jawatan terlebih dulu, bukan Datuk Shahbudin,”jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, bukan sekadar isu pembelian banglo itu sahaja, tetapi banyak lagi kegagalan beliau sebagai Ketua Menteri dalam mengurus tadbir negeri Pulau Pinang yang menjadi sebab beliau mesti meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri.

“Guan Eng sehingga ke hari ini masih  gagal menguruskan isu banjir di Penang. Malah semenjak beliau menjadi Ketua Menteri, keadaan banjir menjadi semakin buruk. Ke mana perginya peruntukan RM150 juta yang sudah diberi oleh kerajaan pusat? Duit peruntukan entah ke mana hilang, rakyat berenang-renang dalam banjir.

“Banjir tetap terjadi biarpun projek tebatan banjir katanya sudah dibuat di Bayan Baru dengan nilai RM40 juta? Begitu juga dengan isu wang kajian terowong RM105 juta?  Mana pergi duit kutipan plastik sejak 2009

“Jalan di Pulau Pinang semakin teruk kesesakkannya namun adakah kerajaan negeri membina jalan baru? Ini kerana kerajaan pusat sudah beri peruntukan sejumlah RM413.93 juta sejak 2012 lagi. Ke mana duit kutipan cukai RM591.77 juta dibelanjakan? Ke mana duit cukai katil sejumlah RM10.56 juta pergi? ,” soalnya.

Menurut beliau, inilah soalan-soalan yang patut ditanya oleh pendemo tersebut kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan bukannya membuang masa dengan berdemo dalam isu yang ternyata tidak benar.

“Saya syorkan pendemo-pendemo itu pergi ke bangunan Komtar mendesak Guan Eng menjawab persoalan ini. Buat banner besar-besar dan pergi ke Jalan Pinhorn untuk tanya soalan soalan ini pada Guan Eng. Kalau tidak boleh jawab, minta Guan Eng letak lah jawatan.

“Jangan berdemo kerana tertipu dengan kenyataan putar belit, memperlihatkan kebodohan mereka dalam memahami sesuatu isu. Mengapa mereka tidak berdemo terhadap Guan Eng yang jelas sudah ada fakta dan hujah kuat. Kenapa diamkan sahaja kesalahan dan kelemahan Guan Eng sepanjang mentadbir negeri ini? Berdemolah suruh Guan Eng letak jawatan,” tegasnya.-MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment