Friday 14 April 2017

Rafizi Sepatutnya Kaji Isu Rasuah Babitkan Guan Eng & Kerajaan Negeri Pulau Pinang


Isu membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang , Lim Guan Eng sehingga menghadapi pertuduhan di mahkamah bukanlah isu yang seharusnya terlepas dari tangan seorang pemimpin politik seperti Rafizi Ramli.Sebagai seorang pemimpin politik yang sering kali membuat pendedahan dan kajian terhadap pelbagai perkara melibatkan kerajaan BN , Rafizi seharusnya perlu berlaku adil dalam hal membabitkan pemimpin politik dari kalangan pembangkang.

Jika Rafizi boleh membuat pendedahan tentang dana 1MDB yang kononnya disalahgunakan membabitkan Datuk Seri Najib dan bekas pemimpin PAS , Nasharuddin Mat Isa mengapa beliau mengambil sikap berkecuali dalam hal membabitkan Lim Guan Eng dan kerajaan negeri Pulau Pinang ?

Apakah Rafizi menganggap Lim Guan Eng sekadar mangsa politik dan tidak bersalah sedangkan mahkamah belum lagi memulakan perbicaraan kes ?

Malah pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang juga sebenarnya diselubungi dengan pelbagai skandal membabitkan wang rakyat seperti mana yang disebut-sebut oleh Rafizi pada setiap kali beliau membuat pendedahan sebelum ini.

Kenapa agaknya Rafizi langsung tidak menyentuh perihal hak warga Pulau Pinang yang seharusnya dibela oleh semua pihak termasuk Rafizi memandangkan banyak kepincangan telah berlaku sehingga membangkitkan pertikaian penduduk contohnya perbelanjaan sejumlah RM305 juta wang rakyat hanya untuk kerja-kerja kajian pembinaan terowong ?

Kenapa Rafizi masih lagi berdiam diri dan merelakan kawasan bukit bukau di Pulau Pinang ditarah tanpa kawalan sehingga menyebabkan berlakunya banjir kilat dan tanah runtuh apabila hujan lebat ?

Bagaimana pula dengan isu penambakan laut untuk membina 3 buah pulau buatan yang dilaksanakan tanpa mengikut proses-proses yang sepatutnya ?

Pernahkah Rafizi terfikir untuk sekurang-kurangnya melihat isu berkaitan pembinaan rumah mampu milik yang dijanjikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang kepada penduduknya yang sehingga kini masih lagi gagal dibuktikan ?

Rafizi sebenarnya perlu tampil dengan lebih profesional sekiranya mahu dilihat sebagai seorang pemimpin yang benar-benar berjuang untuk kepentingan rakyat.Bukan hanya berkisar kepada bahan-bahan "hearsay" tanpa berani mengemukakan bukti-bukti sebagai asas kepada pendedahannya.

Jika Rafizi menyarankan supaya pemimpin negara dan nama-nama yang disebut oleh beliau itu bertanggungjawab dengan meletakan jawatan , apakah keistimewaan kedudukan Ketua Menteri Pulau Pinang disisi Rafizi Ramli kerana sehingga kini pemimpin PKR itu tidak pernah sekalipun menyebut atau menyarankan supaya Lim Guan Eng meletakkan jawatannya kerana berdepan dengan pertuduhan di mahkamah ?

Kegagalan Rafizi untuk berlaku adil dalam usaha sebegini hanya membuktikan betapa pemimpin parti-parti yang bersama dalam Pakatan Harapan takut dan bimbang dengan kedudukan parti DAP yang dilihat sebagai peneraju kepada pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang dan Pakatan Harapan.

Jika inilah amalan pemimpin pembangkang , rakyat sepatutnya sudah dapat menilai betapa mereka sebenarnya tidak ikhlas dan hanya rakus berpolitik semata-mata.

0 comments:

Post a Comment