KUALA LUMPUR – ‘Saya tidak pernah sebut si perempuan kena berkahwin dengan perogol dia.
“Yang saya maksudkan adalah dalam kes ‘statutory rape’ iaitu rogol dalam istilah suka sama suka tetapi pasangannya di bawah umur… malangnya kenyataan saya telah diputar-belitkan,” ujar Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya.
Beliau menjelaskan, semasa membahaskan usul bagi menolak usul cadangan pindaaan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kulai untuk mengharamkan perkahwinan bawah 16 tahun, beliau telah menjelaskan bahawa perkahwinan dan jenayah adalah dua perkara yang berbeza.
Mengikut enakmen Islam jelasnya, mana-mana gadis yang hendak berkahwin bagi yang berumur 16 tahun dan ke bawah hendaklah mendapat kebenaran wali dan mahkamah.
Manakala bagi lelaki bawah umur 18 tahun yang juga ingin berkahwin perlu mendapatkan kebenaran mahkamah dan ianya tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
“Ini bermakna, enakmen Islam tidak beri kuasa sepenuhnya kepada wali bagi membenarkan sesebuah perkahwinan di bawah usia 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki.
“Saya juga menerangkan tentang perkahwinan antara perogol dan mangsa namun sayangnya laporan media diambil dari luar konteks di mana penekanan saya sebenarnya adalah tentang peruntukan undang-undang sedia ada yang tidak menghalang perkahwinan dalam usia yang disebutkan.
“Kes rogol tetap satu jenayah dan menjadi kesalahan… terpulang kepada pihak polis dan mahkamah untuk jatuhkan hukum tetapi dalam realiti masyarakat, terdapat banyak kes rogol yang diklasifikasikan rogol oleh undang-undang adalah ‘statutory rape’ iaitu atas dasar persetujuan bersama,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tambah beliau, bagi menyelesaikan masalah telah terlanjur tetapi diklasifikasikan rogol kerana pasangan bawah umur, keluarga selalunya tidak akan membuat laporan polis dan mengambil keputusan mengahwinkan pasangan berkenaan bagi menutup malu.
“Saya bercakap ini atas dasar pengalaman saya sebagai pengamal undang-undang syariah. Walaupun begitu, perkahwinan bagi menutup malu ini tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia perlu mendapat kebenaran mahkamah syariah terlebih dahulu.
“Isu ini sepatutnya dilihat dari sudut positif contohnya masa depan remaja itu sendiri terutama bagi kes suka sama suka ini… tapi berkahwin bukanlah ‘back door exit’ untuk halalkan kesalahan rogol itu.
“Saya tegaskan sekali lagi… apa yang saya maksudkan adalah persetubuhan suka sama suka tetapi pasangan di bawah umur… bukannya rogol yang tanpa kerelaan yang benar-benar rogol,” tegasnya. – MediaUMNO
0 comments:
Post a Comment