Wednesday 12 April 2017

Tahap Literasi Media Elak DiPerdaya Laporan Palsu


ISU kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya yang disalah tafsirkan sesetengah pihak iaitu mangsa rogol boleh berkahwin dengan perogol, diperdebatkan oleh masyarakat dalam media sosial dan terus jadi viral apabila dikongsi banyak kali, selain ditambah dengan komen menggugat keperibadian seorang ahli politik. 

Kes salah tafsir ini bukannya kali pertama berlaku. Banyak isu lain pernah disalahtafsirkan sebelum mengetahui kesahihan sesuatu sumber. Dua perkara penting memainkan peranan di sini ialah cara penyampaian informasi sesuatu organisasi berita dan keduanya, apabila berita itu dirangkai media sosial maka impak perlagaan itu menjadi lebih besar sehingga mewujudkan kebencian terhadap seseorang ahli politik mahu parti politik. 

Namun, dalam kes Ahli Parlimen Tasek Gelugor, beliau pantas beri reaksi menerusi media sosial juga supaya rakyat tidak salah erti dengan kenyataannya yang menggambarkan beliau menggalakkan jenayah seksual dan menyokong perkahwinan perogol dengan mangsa. Kes ini jelas mempamerkan kuasa media sosial dalam menyampai, menyebar dan menjadikan sesuatu isu viral, terutama yang tidak diketahui kesahihannya. Masyarakat kita harus mempunyai pengetahuan dan kebolehan literasi media. 

Literasi media merujuk kepada keupayaan dalam mengakses, memahami, menganalisis dan menilai sesuatu kandungan mesej atau maklumat, juga berkait rapat dengan kematangan dalam mengendalikan platform tersebut. 

Kematangan inilah yang perlu ada pada setiap individu meskipun ia sedikit sukar disebabkan perbezaan faktor usia, lokasi sama ada di pedalaman atau di bandar, tahap akademik serta tahap penggunaan dan penguasaan teknologi maklumat. Penerimaan sesuatu berita atau isu perlu dikaji sumber serta agenda di sebaliknya. Tahap literasi media yang baik dapat membantu masyarakat membuat perbandingan sesuatu laporan dengan merujuk kepada sumber lain sebelum membuat andaian atau menghukum, lebih-lebih lagi membabitkan isu sensitif dan politik. 

Tidak syak lagi bahawa media dan teknologi komunikasi bergerak pantas dengan pelbagai jenis platform media sosial dan kandungan yang sangat berbeza boleh didapati untuk berkongsi sesama netizen. Kerumitan daripada persekitaran media kontemporari menjadi lebih sukar untuk menilai berikutan kebebasan bersuara menerusi media sosial. 

Perdaya fikiran rakyat 

Media sosial juga dilihat sebagai instrumen untuk memperdaya fikiran rakyat kononnya mereka menjadi miskin berikutan kenaikan harga minyak masak, seperti yang viral baru-baru ini. Ada pihak tidak bertanggungjawab cuba menghasut rakyat seolah-olah mereka menjadi 'fakir' akibat kenaikan harga bahan itu yang secara tidak langsung cubaan memburukkan kerajaan. 

Masyarakat tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada media arus perdana sebaliknya menjadikan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram sebagai pilihan. Perubahan ini membentuk persepsi dan pendirian masyarakat ketika kekeliruan juga wujud disebabkan variasi sumber yang boleh mencetuskan reaksi rakyat tanpa usul periksa mengenai sesuatu perkara. 

Kepantasan maklumat di media sosial, termasuk elemen sensasionalisme diselitkan adalah sesuatu yang sukar dielak, namun amatlah penting untuk ditangani sewajarnya. 

Sikap orang yang cenderung memilih dan mempercayai 'bulat-bulat' maklumat disampaikan melalui media sosial berbanding media arus perdana turut mengundang pelbagai implikasi negatif. Kepantasan sesuatu maklumat diperoleh, disebar dan dikongsi menjadi faktor rakyat memilih media sosial berbanding media arus perdana meskipun mereka tidak pasti akan kebenarannya. 

Sikap berlumba-lumba mahu menjadi yang pertama menyampaikan maklumat menjadi budaya dalam kalangan kita dan yang lain pula dengan sewenang-wenangnya berkongsi sehingga menjadikan sesuatu isu menjadi viral. 

Media sosial seharusnya memberi banyak kebaikan jika dimanfaatkan sewajarnya. Di sinilah pentingnya literasi media agar masyarakat mempunyai pengetahuan dalam membezakan antara maklumat baik dan maklumat buruk. Keperluan mengenalpasti sumber sama ada ianya primary sources, secondary sources atau pun tertiary sources perlu didedahkan bagi membantu masyarakat mengendalikan media sosial dengan cara sepatutnya. Pengetahuan ini boleh membantu mengenalpasti sumber sesuatu maklumat itu diperoleh sebelum ia tersebar di media sosial. 

Kebolehan mengenal pasti sumber sahih sesuatu maklumat boleh mencegah masyarakat daripada hanya membuta tuli mempercayai sesuatu perkara dan lebih buruk berkongsi laporan palsu. 

Syor akta khusus 

Satu akta khusus bagi membendung masalah salah guna media sosial, terutama berkaitan dengan laporan berita palsu harus diwujudkan. Kerajaan perlu menimbang semula peruntukan undang-undang media sedia ada. Dalam keadaan landskap media yang kompleks, ia telah menggalakkan kebebasan bersuara dalam kalangan rakyat dan fenomena itu hari ini telah melangkaui sempadan terutama isu-isu sensitif yang dibangkitkan oleh keyboard warriors berkaitan agama, bangsa dan skandal politik. 

Undang-undang media perlu ditambah baik terutama yang berkaitan media baharu dan media sosial bagi menangani cabaran semasa hari ini. Polisi media di negara ini dikawal selia oleh pelbagai institusi sehingga ada akta dan undang-undang media yang bertindih. 

Ada akta yang tidak lagi relevan atas faktor perubahan teknologi, selain akta yang terhad kepada media cetak sahaja dan tidak terpakai kepada media baharu khususnya media sosial. Akta lain yang 'terpaksa' digunakan bagi menangani isu membabitkan media sosial itu secara langsung menyukarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan, satu badan khas wajar diwujudkan bagi membuat keputusan berhubung perundangan media sosial, termasuk penyeliaan, kawalan dan tindakan. 

Satu akta atau undang-undang media yang lebih adil perlu dilaksanakan di mana ia boleh membantu rakyat mendapatkan maklumat yang benar dan pada masa sama menjaga perpaduan rakyat pelbagai bangsa dan etnik di negara. Ia juga boleh mengelakkan kegusaran rakyat akibat layanan berbeza terhadap media arus perdana dan media sosial, sekali gus menjadikan media lebih bertanggungjawab dalam setiap laporan. 

Jika cadangan itu dilaksanakan, industri media di negara ini akan mendapat 'nafas baharu' melalui struktur perundangan lebih baik, seiring dengan perkembangan teknologi maklumat semasa. Walaupun beberapa usaha dijalankan baru-baru ini seperti kewujudan laman sesawang 'Sebenarnya' dan juga seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap rakyat berhubung pemahaman maklumat media sosial namun, pendekatan media literasi ini harus ditekankan dari semasa ke semasa oleh ahli-ahli politik yang lain juga supaya menggalakkan penyaluran maklumat sihat dalam kalangan rakyat kita.

sumber - Berita Harian 

0 comments:

Post a Comment