Tuesday 18 April 2017

Tasek Gelugor Jadi Kawasan Agro-Pelancongan


TASEK GELUGOR - Tasek Gelugor, sebuah penempatan di Seberang Perai Utara (SPU), bakal dijadikan kawasan pembangunan agropelancongan bagi membolehkan orang ramai mendapat bekalan hasil sungai seperti udang dan ikan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, kawasan itu dilihat mempunyai infrastruktur dan kelebihan dari segi faktor alam yang jika dibangunkan secara teratur, berupaya  menjadi nadi  tarikan pelancongan terutama  sebagai hab pelancongan sungai.

"Pelancong-pelancong nanti boleh menikmati ataupun melihat sendiri habitat seperti buaya, burung dan pokok-pokok di sepanjang kawasan sungai berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek itu di Pengkalan Machang di sini hari ini.

Turut sama meninjau kawasan itu ialah Naib Pengerusi Eksekutif Koperasi (Pembangunan Koperasi) Datin Zuraidah Hasni bersama delegasi dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Shabudin berkata, lawatan ke lokasi itu juga bertujuan menilai dan mengkaji cadangan yang dikemukakan sebelum ini untuk menjadikan Tasek Gelugor sebagai kawasan pembangunan agropelancongan.​​​​​

​​​​​​​Shabudin berkata, hampir RM700,000 telah dibelanjakan untuk projek tersebut yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang kerana projek itu perlu dilakukan secara berperingkat yang antara lain melibatkan latihan serta pengurusan.

"Untuk merealisasikan cadangan pembangunan agropelancongan ini, kita telah pun mendapat kerjasama dan tunjuk ajar daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan kita berjaya menubuhkan tiga koperasi iaitu di Pengkalan Machang, Air Itam Dalam serta di Labuh Banting.

"Tiga koperasi ini akan menjadi mentee dalam pelaksanaan projek ini manakala Universiti Teknologi Malaysia akan menjadi mentor kepada koperasi ini untuk memastikan projek ini berterusan dan diurus dengan profesional," katanya.

Beliau berkata setiap  koperasi mempunyai fokus tersendiri, misalnya koperasi di Labuh Banting akan menumpukan perhatian kepada penghasilan hasil-hasil sungai dan penghasilan kuih-kuih tempatan serta pembangunan inap desa.

"Hasilnya nanti kita dapat melihat satu lagi pusat pelancongan tumpuan baharu dan ia agak lain sikit kerana bersifat agropelancongan dan aktiviti mengenali cara hidup," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment