Friday 21 April 2017

Usul Desak Lim Guan Eng Ambil Cuti Tetap Akan Di Bahas


GEORGE TOWN – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan tetap membangkitkan desakan agar Lim Guan Eng mengambil cuti daripada tugasnya sebagai ketua menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula 19 Mei ini.

ADUN Pulau Betong Datuk Muhammad Farid Saad berkata jika usul yang akan dibawa oleh Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid itu ditolak oleh speaker dewan Datuk Law Choo Kiang, perkara itu akan tetap dibangkitkan ketika perbahasan.

“Keputusan telah dicapai oleh ADUN Barisan Nasional bahawa usul itu akan dibawa oleh Datuk Jahara Hamid dan akan dihantar kepada speaker DUN melalui sistem ADUN NET sebelum 5 Mei,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata pembangkang DUN Pulau Pinang merasakan usul itu perlu dikemuka dan dibahas pada sidang DUN kali ini berikutan Lim kini berdepan pendakwaan di mahkamah atas dua tuduhan rasuah,

“Jika speaker tolak (usul), kami mempunyai pilihan kedua iaitu membuat usul tergempar tetapi itu memerlukan seorang pencadang dan 10 penyokong, baru usul itu dibenar untuk dibahaskan dan jika kedua-dua pilihan itu tidak berjaya, setiap ADUN BN akan bangkitkan perkara itu dalam perbahasan mereka,” katanya

Isnin lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman meminta Jahara untuk membawa usul bagi mendesak Lim mengambil cuti sebagai ketua menteri sementara perbicaraan kes rasuahnya berjalan.

Lim menghadapi dua tuduhan rasuah iaitu berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, Law ketika dihubungi berkata semua ADUN boleh mengemukakan usul mereka 14 hari sebelum tarikh persidangan.

“Ketika ini masih terlalu awal untuk mereka (ADUN) menghantar usul dan soalan lisan bagi persidangan Mei ini,” katanya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dijadual bermula 19 Mei dan akan berlangsung selama 10 hari.

0 comments:

Post a Comment