Tuesday 18 April 2017

Usul Kecam Shabudin Seperti Tolak Undang-Undang Syariah


BUTTERWORTH : Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya menyifatkan cadangan untuk membentangkan usul mengecamnya di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang seperti menolak undang-undang Islam.

Beliau berkata langkah yang diumumkan Ketua Menteri Lim Guan Eng itu tentang kenyataannya di Parlimen baru-baru ini boleh diertikan seperti mempelopori pemansuhan undang-undang Islam negeri.

Bekas presiden Majlis Agama Islam Pulau Pinang berkata kenyataanya di Dewan Rakyat 4 April lepas mengenai rogol dan perkahwinan bawah umur sebenarnya berdasarkan undang-undang keluarga agama Islam.

Oleh itu, hasrat Guan Eng untuk mengecam perkahwinan kanak-kanak nampak seperti tidak mahu undang-undang Islam, katanya semasa mengunjungi Pengkalan Machang, Sungai Dua di sini.

Bagaimanapun, dalam kenyataan 5 April lepas, Shabudin mendakwa kenyataannya dilaporkan di luar konteks, dan mengingatkan seorang perempuan bawah umur tidak boleh dikahwinkan oleh walinya tanpa kebenaran mahkamah syariah.

Pada 7 April, Guan Eng mengumumkan langkah membentangkan usul terhadap Shabudin pada sidang dewan akan datang.

Shabudin berkata Guan Eng seperti mahu mengusahakan agar Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 2004 tentang perkahwinan bawah umur dan kuasa hakim syariah dalam perkara tersebut dimansuhkan.

Beliau berkat sekiranya usul tersebut diteruskan, ia seperti “membuang” Seksyen 8 dan Seksyen 18 enakmen tersebut.

“Sebelum Guan Eng membentangkan usul terhadap saya, dia perlu nyatakan pendirian mengenai undang-undang Islam negeri yang saya sebutkan itu,” tambahnya.

Seksyen 8 menyatakan perkahwinan untuk lelaki di bawah umur 18 tahun dan perempuan di bawah umur 16 tahun tidak boleh dilakukan, kecuali dibenarkan hakim syariah.

Seksyen 18 berkaitan keputusan hakim dalam perkahwinan membabitkan orang bawah umur, balu atau tanpa wali.

Mengecam usul itu sebagai bermotifkan politik, Shabudin menambah kenyataannya di Parlimen disokong mufti Kelantan dan bekas mufti Pulau Pinang.

Beliau berkata kenyataan itu sebahagian daripada perbahasan Rang Undang-Undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 apabila beliau mempertahankan undang-undang Islam negeri selepas seorang ahli Parlimen mencadangkan perkahwinan bawah umur diharamkan.

Beliau berkata sekiranya perkahwinan bawah umur diharamkan, ia akan menjejaskan enakmen keluarga Islam di semua negeri.

sumber - FMT 

0 comments:

Post a Comment