Saturday, 22 April 2017

Zairil & Dyana Perlu Tampil Bersihkan Maruah Diri


Susulan tersebarnya beberapa keping gambar yang dikatakan mirip kepada dua pemimpin muda Parti DAP Zairil Khir Johari dan Dyana Sofya Md Daud, saya berpendapat perlunya 'mereka berdua' untuk tampil membuat kenyataan sama ada menafikan perkara tersebut ataupun mengiayakannya.

Memandangkan ini bukan kali pertama ianya terjadi di mana sebelum ini ianya telah dinafikan oleh Zairil sendiri dengan mendakwa individu di dalam gambar yang disebarkan tersebut adalah mirip kepada beliau dan bukan dirinya maka keputusan yang lebih profesional wajarlah dijadikan sebagai pilihan.

Memberikan penjelasan kepada pimpinan DAP sahaja tidak akan mampu membuktikan apa-apa kerana ianya akan dilihat lebih bersifat politik kepartian.Sudah tentu mana-mana individu yang disabitkan dengan perlakuan yang menjejaskan integriti dan maruah diri akan bertindak untuk membersihkan dirinya daripada pertuduhan sedemikian kerana ia mampu menggugat kestabilan rumahtangga , mencalarkan imej parti yang diwakili selain mampu menyebabkan rakyat hilang percaya dengan kedudukannya selaku pemimpin.

Justeru itu Zairil dan Dyana haruslah lebih peka dengan situasi ini dan selaku pemimpin mereka sewajarnya melihat dalam konteks yang lebih jauh memandangkan kedua-duanya adalah orang Melayu dan mengaku beragama Islam.

Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pulau Pinang memandang serius isu membabitkan kedua-dua pemimpin politik DAP ini khususnya Dyana Sofya memandangkan beliau juga adalah wanita.

Sebagai wanita , Dyana tidak boleh sekadar mengaitkan isu tersebut sebagai satu serangan peribadi semata-mata dan beliau seharusnya lebih pantas tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya satu siasatan yang menyeluruh dapat dilakukan.

Isu yang dibangkitkan ini sebenarnya sudah meletakkan maruah diri Dyana sebagai seorang wanita yang tidak baik di mata masyarakat memandangkan sekiranya apa yang tersebar itu benar, Dyana adalah individu yang sedang merosakkan rumahtangga Zairil yang sudah berkahwin dan berkeluarga.

Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pulau Pinang berpendapat sekiranya perkara tersebut sahih maka tidak perlulah mereka berselindung lagi dan bercakap benarlah sebagai seorang Muslim apatah lagi kedudukan mereka selaku pemimpin yang sepatutnya menjadi tauladan kepada masyarakat.

Saya percaya sebagai seorang muslim ada jalan terbaik untuk mereka di sisi agama Islam itu sendiri, jangan membiarkan situasi ini berterusan kerana ia boleh mencemarkan kesucian agama Islam itu sendiri malah ianya akan menjadi contoh yang tidak baik kepada masyarakat di luar sana sama ada Islam dan bukan Islam .

Nurul Haida Mahamad
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pulau Pinang

0 comments:

Post a Comment