Wednesday 24 May 2017

Bidas Ramasamy Isu Kebanjiran Pekerja Asing Di P.Pinang


GEORGE TOWN – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah hari ini membidas Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P.Ramasamy yang menuding jari terhadap kerajaan Persekutuan berhubung isu kebanjiran pekerja asing di negeri ini.

Shah Headan berkata sudah menjadi kebiasaan kerajaan Pulau Pinang menuding jari kepada kerajaan Persekutuan bagi menutup kelemahan dan keburukan mereka apabila sesuatu isu dibangkitkan.

Beliau berkata walaupun kemasukan pekerja asing berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri seharusnya bijak dalam mewujudkan garis panduan mengawal kebanjiran pekerja asing di negeri ini.

“Ini menunjukkan dasar dan garis panduan kerajaan negeri kelam kabut sehingga gagal mengawal isu kebanjiran pekerja asing yang semakin tidak terkawal di negeri ini.

“Kerajaan negeri boleh mencontohi Singapura yang menyediakan pelan sistematik untuk pekerja warga asing dengan menyediakan satu penempatan khas untuk golongan itu,” katanya pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Shah Headan mendakwa sejak kerajaan negeri pimpinan DAP mentadbir negeri ini pada 2008, tidak ada satu penempatan disediakan seperti yang dijanjikan.

Justeru, beliau mencabar kerajaan negeri supaya menghantar surat kepada Kementerian Dalam Negeri dan kilang-kilang di negeri ini memaklumkan Pulau Pinang tidak memerlukan khidmat pekerja asing.

“Selepas itu kita lihat sama ada kerajaan negeri boleh uruskan atau tidak (tanpa pekerja asing). Sepatutnya Pulau Pinang perlu wujudkan dasar pelaburan dengan memilih pelabur yang tidak menggunakan intensif pekerja.

“Ketika ini banyak kilang yang ada menggunakan pekerja asing, dan mengapa kerajaan negeri tidak mencari pelabur yang tidak mengguna pakai tenaga pekerja asing?,” katanya.

Terdahulu, pada sesi soal jawab di persidangan DUN, Ramasamy berkata isu kebanjiran pekerja asing adalah isu kontroversi yang bukan hanya berlaku di Malaysia.

“Kerajaan negeri tidak ada peranan langsung dalam isu ini (kebanjiran pekerja asing). Ini kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat. Kita hanya boleh berusaha untuk memperbaiki keadaan,” katanya.


0 comments:

Post a Comment