Saturday 27 May 2017

Butterworth Di Landa Banjir Kilat


BUTTERWORTH – Hujan lebat awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan dan rumah penduduk di sekitar Butterworth dilanda banjir kilat.

Kawasan yang dinaiki air selepas hujan lebat dari pukul 3 hingga 7 pagi itu ialah Taman Senangin, Kampung Main Road, Taman Kepar serta Taman Supreme.

Ketua Pemuda MIC Permatang Pauh M.Suresh yang melawat kawasan banjir kilat itu berkata beliau dimaklumkan oleh penduduk di kawasan terjejas rumah mereka dinaiki air sejak pukul 4 pagi selepas hujan lebat.

“Saya dan beberapa rakan terus pergi melihat keadaan mangsa dan kebanyakan rumah penduduk di kawasan itu dinaiki air hingga paras lutut,” katanya.

Seorang penduduk Taman Senangin, Wong Tiew Hwa, 48, berkata kawasan perumahan itu akan dilanda banjir kilat jika hujan lebat berlanjutan hingga beberapa jam dan tahun ini sahaja telah tiga kali rumahnya dinaiki air.

Wong berkata beliau dan penduduk di situ berharap kerajaan negeri atau pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat itu.

“Ini bukan masalah baru dan setiap kali hujan lebat penduduk perlu bersiap sedia memindahkan barang elektrik ke tempat lebih tinggi jika tidak semua itu akan rosak dan terpaksa beli baharu,” katanya.

Difahamkan tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir kerana air mula surut pada pukul 11 pagi dan penduduk mengambil peluang cuti hujung minggu untuk membersihkan rumah mereka.

0 comments:

Post a Comment