Tuesday 23 May 2017

Jahara Bangkit Usul Fatwa Belum Di Warta , Siapa Tentukan Masa Yang Sesuai ?


Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-13 kini sudah memasuki hari kedua perbahasan.Ketua Pembangkang , YB Datuk Jahara Hamid yang menyampaikan ucapan dan membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang , Tun Abdul Rahman Abbas telah membangkitkan isu berkaitan usul fatwa yang kini masih lagi belum diwartakan.

YB Datuk Jahara dalam ucapannya menyebut ucapan TYT Tun semasa merasmikan Sidang Dewan kali ini menyatakan bahawa ketetapan agama Islam sebagai agama rasmi perlulah dihormati. Harus diingat bahawa bukan sahaja Kerajaan Negeri perlu menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi untuk pembangunan hal ehwal agama Islam di negeri ini, ianya tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak kerana perkara ini telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi lebih dari itu kehormatan agama Islam merangkumi semua aspek kehidupan, pendidikan, kebajikan,kerohanian dan pengamalan agama itu sendiri.

Enakmen pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 telah menetapkan perlantikan dan kuasa Mufti, Jawatankuasa Fatwa Negeri serta kaedah untuk membuat atau meluluskan fatwa. 

Tidak ada satu pun peruntukan di dalam enakmen tersebut membolehkan fatwa yang telah diluluskan untuk dibawa ke Pentadbiran Kerajaan Negeri untuk disemak supaya selari dengan kehendak Kerajaan Negeri sebelum dibawa ke pengetahuan Yang di-Pertuan Agong! 

Ini adalah asas atas dasar Mufti mempunyai kebebesan penuh untuk membawa fatwa yang diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang untuk membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenannya bagi penyiaran fatwa itu dalam warta. Setelah diperkenankan maka fatwa tersebut hendaklah dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri dan diwartakan.

Fatwa adalah khusus hal ehwal agama dan Ketua Agama untuk Pulau Pinang adalah Yang di-Pertuan Agong! – bukan Ketua Menteri !

Oleh sebab itu surat edaran oleh Exco Agama pada 26 Mei 2010 kepada Jawatankuasa Fatwa tentang perkara itu adalah salah satu usaha campur tangan dalam hal ehwal agama yang tidak seharusnya dibuat dan perlu ditarik balik. 

'Kenyataan Datuk Seri Hassan Ahmad berkata tegurannya itu dibuat selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004.

Datuk Seri Hassan Ahmad berkata ketika masih dalam perkhidmatan teguran itu dibuat selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agam Islam Negeri Pulau Pinang 2004 di mana mufti boleh secara terus membawa usul fatwa kepada Agong. 

Apabila kerajaan negeri mengeluarkan surat pekeliling dan mengarahkan semua jabatan sebelum mewartakan sebarang fatwa mesti mendapat kelulusan mesyuarat exco terlebih dulu, saya tulis surat supaya jabatan mufti dikecualikan kerana berdasarkan kepada enakmen 2004, kita tidak terikat.' 

Biarlah ini menjadi pengajaran kepada semua yang bertanggungjawab – jangan bermain api, jangan cuba untuk melarutkan dan mempengaruhi pegangan agama rakyat Pulau Pinang mengikut arah dan kehendak pihak yang ingin memesongkan akidah umat Islam dengan pegangan liberalisme, pluralisme hedonisme dan lain-lain kerana kita tidak redha! 

YB Datuk Jahara kemudiannya turut menyentuh tentang kedudukan fatwa negeri yang sudah diluluskan tetapi masih belum diwartakan.

Apa pula yang dah terjadi dengan 4 fatwa yang sudah diluluskan tapi belum diwartakan ? 

Satu hal lagi pada 4 April 2017 Dato Mufti Pulau Pinang menyatakan bahawa kesemua fatwa yang sudah diluluskan dalam proses untuk diwartakan. 

BILA DIDAPATI KETIKANYA YANG SESUAI ?

SIAPA YANG TENTUKAN MASA YANG SESUAI ?

Isu ini dibangkitkan kerana ramai pihak tertanya-tanya apakah dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini telah melangkaui Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 yang telah menetapkan perlantikan dan kuasa Mufti, Jawatankuasa Fatwa Negeri serta kaedah untuk membuat atau meluluskan fatwa.

0 comments:

Post a Comment