Friday 5 May 2017

Kaedah Baharu Pemilihan Calon PRU 14 Di Pulau Pinang


GEORGE TOWN, – Kaedah pemilihan calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang dalam konteks Pulau Pinang dijangka berbeza daripada pilihan raya sebelum ini, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
Beliau berkata jika sebelum ini kaedah yang diguna untuk memilih calon adalah berasaskan parti, kini ia berdasarkan hasil kaji selidik dan maklum balas daripada orang ramai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen berkenaan.
“Kami akan dapatkan maklum balas daripada semua golongan penduduk di kawasan berkenaan seperti suri rumah, nelayan, petani, peniaga dan penaja.
“Calon yang bakal dicadangkan mesti penuhi kriteria dan ciri-ciri yang disukai rakyat di kawasan yang bakal ditandingi,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata kajian akan dilakukan oleh beberapa kumpulan yang terdiri daripada pihak-pihak yang tidak mempunyai kepentingan politik.
“Matlamat kami ialah menafikan kemenangan dua pertiga pakatan harapan dan menjadi pembangkang yang kuat di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata kaedah pemilihan calon itu telah diguna pakai oleh BN pada pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas dan tiga pilihan raya kecil iaitu parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar serta Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu.
Ditanya mengenai usul yang bakal dibawa wakil rakyat BN pada persidangan DUN Pulau Pinang bermula 19 Mei ini, Zainal Abidin berkata dua usul iaitu meminta Ketua Menteri ,Lim Guan Eng meletak jawatan dan bercuti daripada jawatan ketua menteri telah diserah kepada Speaker dewan, Datuk Law Choo Kiang.
Beliau berkata isu itu perlu dibangkitkan pada sidang dewan demi menjaga kemuliaan jawatan ketua menteri agar tidak tercemar memandangkan Lim kini menghadapi tuduhan rasuah dan akan dibicarakan di mahkamah.
“Usul telah dihantar dan terpulang kepada speaker sama ada terima atau tidak…isu di sini ialah nama baik jawatan ketua menteri,” katanya yang berharap semua wakil rakyat yang rasional menyokong usul itu.

0 comments:

Post a Comment