Thursday 11 May 2017

Kenang Perjuangan UMNO, Selamatkan Bangsa Untuk Kesejahteraan Hari ini – Yussof Latiff


KUALA LUMPUR 11 Mei – Keperitan yang dirasai dalam zaman penjajah terutamanya semasa pendudukan Jepun telah memberi kesedaran kepada bangsa Melayu termasuklah Tan Sri Mohd. Yusoff Latiff yang telah dinobatkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2017.

“Sejarah perjuangan UMNO tidak boleh dibiarkan luput begitu sahaja dan oleh sebab itu, saya pegang kepercayaan bahawa mana-mana pihak yang memaki UMNO boleh dianggap ‘berdosa’ kerana tidak menghargai pengorbanan ‘ibu’ yang telah menyelamatkan kita suatu ketika dahulu,” katanya dalam temubual eksklusif bersama UMNO-Online.

Beliau adalah antara golongan remaja yang turut sama menyambut ketibaan Dato’ Onn Jaafar di Sekolah Francis Light Pulau Pinang semasa roadshow mengajak orang Melayu bangkit menentang Malayan Union pada tahun 1946.

“Keinginan untuk menuntut kemerdekaan dan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air telah mendorong saya menyertai UMNO pada 21 Oktober 1947 iaitu sebaik tamat persekolahan.”

Tokoh yang dilahirkan di Pulau Pinang pada 11 Ogos 1930 ini telah mendapat pendidikan awal dari Sekolah Melayu Chowrasta dan kemudian menyambung pengajian ke Sekolah Inggeris. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Puan Seri Hajah Aishah Ismail pada tahun 1958 dan kemudiannya dikurniakan empat orang cahayamata.

Seterusnya, beliau telah dilantik menjadi Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Jalan Hatin pada tahun 1948. Dengan langkah ini beliau aktif dalam politik dan pelbagai pertubuhan sukarela malah turut serta dalam sambutan kepulangan Tunku Abdul Rahman dari London di Bandar Hilir, Melaka untuk pengistiharan kemerdekaan Tanah Melayu.

Pada tahun 1964, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Politik yang pertama kepada Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Tan Sri Wong Pow Nee dan memegang jawatan tersebut hingga tahun 1969. Beliau juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Parti Perikatan Pulau Pinang dan beberapa jawatan politik lain termasuklah Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional Pulau Pinang pada tahun 1978.

Tokoh ini turut aktif dalam persatuan dan menjadi penggerak utama kepada Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) iaitu antara 41 pertubuhan yang bergabung dalam Kongres Melayu membentuk UMNO pada tahun 1946 dan masih aktif hingga kini. Melalui PEMENANG, beliau meneruskan aktiviti kebudayaan tempatan sebagaimana boria dan penulisan puisi yang berasaskan perjuangan dan kecintaan kepada negara.

Atas budi dan khidmat bakti yang dicurahkan, beliau telah dikurniakan pelbagai pingat antaranya Darjah Panglima Setia Mahkota, Kesatria Mangku Negara, Ahli Mangku Negara, Tokoh Budaya Gapena, Tokoh Maal Hijrah, Tokoh Sukarelawan 2103 dan Tokoh Kemerdekaan 2011.

Kini, dalam usia menjangkau 87 tahun, beliau terus aktif dalam mencurahkan pelbagai khidmat dengan tekad terus subur bersama perjuangan UMNO.


YBHG. TAN SRI DATO’ SERI HAJI MOHD YUSSOF LATIFF

Tarikh Lahir: 11 Ogos 1930 di Pulau Pinang
Adik beradik: anak yang kelima daripada tujuh orang adik beradik.

Pendidikan: Sekolah Melayu Chowrasta dan sekolah Inggeris
Tarikh berumah tangga pada tahun 1958
Isteri: Allahyarhamah YBhg Datin Hajjah Aishah Ismail
Anak: Empat orang

• aktif sejak zaman remaja sehingga kini, dengan menjawat perbagai jawatan penting dalam pertubuhan sukarela, masyarakat, sukan dan juga aktif dalam bidang politik.
• memulakan kariernya sebagai ahli perniagaan sejak tahun 1960an dan telah berjaya menjadi seorang ahli korporat yang terkenal di Pulau Pinang.
• melibatkan diri secara aktif dalam politik mulai 1947.
• Pada tahun 1964 telah dilantik sebagai Setiausaha Politik yang pertama kepada Ketua Menteri Pulau Pinang (Y.A.B. Tan Sri Wong Pow Nee) dan memegang jawatan tersebut sehingga tahun 1969.
• pernah memegang jawatan Setiausaha Parti Perikatan Pulau Pinang dan beberapa jawatan penting dalam pertubuhan UMNO Pulau Pinang.
• Bersama Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), melibatkan diri secara aktif sejak tahun 1960 hinggalah sekarang sebagai aktivis kebudayaan dan kesenian Melayu, serta aktivis masyarakat.
• memegang jawatan Presiden PEMENANG semenjak 1984 hingga sekarang.
• Sebagai Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), mengasaskan penubuhan Tabung Biasiswa Kenangan PEMENANG kepada anak-anak Melayu kelahiran Negeri Pulau Pinang yang cemerlang dan layak untuk dipertimbangkan.

• Mengasaskan penubuhan Ikatan Kelab-Kelab Melayu Negeri Pulau Pinang (IKATAN) yang bertujuan supaya seluruh Kelab-Kelab dan Persatuan-Persatuan Melayu di Negeri Pulau Pinang berada di bawah “satu payung”.

• Mengasaskan penubuhan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (GABUNGAN) yang bertujuan supaya ia menjadi satu “payung” kepada kegiatan-kegiatan kebudayaan dan kesenian Melayu Pulau Pinang.

• Sebagai Presiden PEMENANG, beliau telah mengasaskan penubuhan Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang yang dianggotai oleh sejumlah 16 buah Persatuan Etnik Komuniti Negeri Pulau Pinang
• mengasaskan penubuhan Kelab Peminat P.Ramlee di Pulau Pinang.
• memegang jawatan Yang Di Pertua Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Pulau Pinang semenjak 1980 hingga sekarang.
• memegang Jawatan Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) sejak tahun 1994 hinggalah sekarang.

• menjadi Yang di Pertua (YDP) Persatuan Qaryah-Qaryah Masjid Negeri Pulau Pinang, jawatan yang dipegang oleh beliau semenjak tahun 1999. Persatuan ini adalah menjadi badan induk kepada hampir 200 buah masjid qaryah dan beratus-ratus surau yang wujud di Negeri Pulau Pinang.

• Sebagai YDP Persatuan Qaryah-Qaryah Masjid Negeri Pulau Pinang, beliau telah mengasaskan penubuhan Dana Amal Jariah bagi mengutip derma dari orang perseorang dan Badan-Badan Korparat bertujuan membeli hartanah bagi membantu orang-orang Islam yang miskin dan daif.

• Terlibat secara aktif dalam berbagai-bagai Persatuan Sukan Tanah Air dengan memegang jawatan-jawatan penting. Beliau telah mewakili negara dalam beberapa persidangan sukan antarabangsa di luar negara.

• Beliau juga telah mengasas penubuhan Persatuan Sepak Raga (Sepak Takraw) Negeri Pulau Pinang pada tahun 1956 dengan memegang jawatan Setiausaha Persatuan tersebut pada tahun 1958 hingga 1966 dan seterusnya menjadi Presiden Persatuan hingga 1988.

• Beliau telah mengasas dan menubuhkan Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu Pada tahun 1960 dengan menjadi setiausaha Agong Persatuan yang pertama serta menganjurkan Pertandingan Sepak Raga (Sepak Takraw) Peringkat Kebangsaan PIALA EMAS KHIR JOHARI.

• Sebagai seorang ahli pernigaan yang berjaya, beliau kini diberi tanggungjawab memegang jawatan Pengerusi Perdagangan Islam Malaysia Cawangan Negeri Pulau Pinang dan Penasihat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) sekarang.

PINGAT, DARJAH KEBESARAN DAN ANUGERAH:

Tokoh Kemerdekan Negara 2011 oleh Kerajaan Persekutuan
Tokoh Maal Hijrah oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang1426(H) / 2005 (M
Tokoh Warga Emas Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2000
Tokoh Warga Emas Daerah Timur Laut tahun 2000
Tokoh Budaya GAPENA
Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) – 2014 yang membawa gelaran Tan Sri
Darjah Gemilang Pankuan Negeri (DGPN) – 2005 yang membawa gelaran Dato’ Seri.
Pingat Pangkuan Negara (PPN) – 1995
Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) – 1985 yang membawa gelaran Dato’
Darjah Johan Negeri (DJN) – 1983
Kesatria Mangku Negara (KMN) – 1980
Jaksa Pendamai (JP) – 1980 (Kerajaan Pulau Pinang)
Ahli Mangku Negara (AMN) – 1978

0 comments:

Post a Comment