Wednesday 31 May 2017

KSCIP Mulakan Operasi


Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang diumumkan penubuhannya pada 1 Mac lalu sempena lawatan rasmi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, beroperasi mulai hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Se­ri Hishammuddin Tun Hussein berkata, KSCIP yang mempunyai kaitan dengan Pusat Global Bagi Memerangi Ideologi Ekstremis (GCCEI) merupakan satu inisiatif bagi menggerakkan kerjasama stra­tegik antara masyarakat antarabangsa dalam usaha menangani keganasan.

“Sembilan puluh hari telah di­tetapkan untuk kita memulakan pusat ini dan hari ini saya ingin maklumkan bahawa KSCIP telah beroperasi di sebuah pejabat sementara di Kuala Lumpur.

“Tempoh dua tahun ditetapkan­ untuk pembinaan pusat rasmi KSCIP yang mana lokasinya akan dimaklumkan kemudian,” katanya selepas mengedarkan 3,000 bungkusan bubur lambuk kepada warga Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Yang turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Menurut beliau, majlis pelancaran KSCIP yang sepatutnya di­rasmikan Timbalan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Al- Saud esok, ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.

Hishammuddin berkata, KSCIP menunjukkan Malaysia berada pada landasan yang tepat memerangi keganasan dan ia menjadi platform bagi menggerakkan usaha untuk mempromosi idea keamanan sejagat berdasarkan konsep wasatiyyah.

“Usaha untuk memerangi ke­­ganasan tidak hanya men­cukupi dengan kaedah ketenteraan dan undang-undang sa­haja tetapi mes­ti menggunakan soft approach (pendekatan lembut) melalui jiwa dan minda.

“Di KSCIP ini kita akan meng­gembleng para ilmuwan, Menteri Pertahanan ASEAN serta pihak pe­risikan antarabangsa sebagai persiapan untuk memerangi ideologi kumpulan ekstremis,” katanya.

Dalam pada itu Hishammuddin berkata, Malaysia bersedia untuk memberi segala bentuk bantuan yang diperlukan oleh kerajaan Fili­pina bagi menangani krisis keganasan di Marawi.

“Apa yang Malaysia boleh bantu kita akan bantu dan bersedia berikan kerjasama kepada kerajaan Fili­pina.

“Kita akan menentang keganasan habis-habisan dan usaha ini turut dipersetujui oleh negara-negara ASEAN lain,” ujarnya.

sumber - utusan 

0 comments:

Post a Comment