25 MEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang Shah Headan Ayoob Hussain Shah menyifatkan cadangan kerajaan DAP Pulau Pinang membuat pinjaman daripada sebuah bank di China bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) sebagai satu tindakan berisiko.
Beliau berkata tindakan melabur wang pinjaman berkenaan bagi membiayai PTMP bakal membebankan generasi akan datang berikutan sektor pengangkutan tidak memberi pulangan dan keuntungan yang tinggi.
“Bagaimana nak dapat cukup penumpang untuk membiayainya. Negara yang ada kepadatan penduduk yang tinggi seperti Hong Kong pun rugi, dan ini akan bawa masalah kepada Pulau Pinang. Di Pulau Pinang pula tidak buat (pengangkutan awam) di seluruh Pulau Pinang, hanya di bahagian pulau.
“Penduduk yang nak guna pengangkutan awam ini pun tak cukup untuk menyokong perniagaan ini. Saya tak nampak logik untuk membiayai pengangkutan dengan jarak yang pendek dan penduduk tak ramai,” katanya pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.
Terdahulu, persidangan DUN Pulau Pinang meluluskan Rang Undang-undang Pinjaman Negeri Pulau Pinang (Bank dan Sumber-sumber Kewangan Lain) 2017 yang membolehkan kerajaan DAP Pulau Pinang membuat pinjaman daripada China Exim Bank.
Ketua Menteri Lim Guan Eng ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata jumlah wang yang dipinjamkan berkenaan disediakan untuk tujuan membiayai pelaburan, pelaksanaan pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial bagi negeri ini serta perkara-perkara berkaitan termasuk melaksanakan PTMP 2013-2030.
Shah Headan berkata kerajaan negeri perlu membuat kajian secara menyeluruh terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menggunakan pinjaman berkenaan bagi membiayai PTMP.
Ditanya mengapa tidak ada seorang wakil rakyat Barisan Nasional mengambil bahagian pada sesi perbahasan rang undang-undang itu, beliau berkata pihaknya tidak mahu kenyataan mereka dimanipulasi oleh ‘cyber troopers’.
Projek PTMP yang melibatkan kos RM27 bilion, mengandungi sebuah terowong dasar laut sepanjang 6.5km, tiga lebuh raya, LRT dan Penang Sky Cab (kereta kabel).
0 comments:
Post a Comment