Monday 8 May 2017

Lebih Dari 140,000 Warga UMNO Bakal Hadir Sambutan Ulang Tahun Ke-71


Lebih 140,000 pejuang dan pendokong parti dijangka akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, bagi menghadiri sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71 pada 11 Mei depan, kata Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusof.

Beliau berkata, setakat ini persiapan bagi menyambut acara yang bertemakan ”Penyatuan, Maruah, dan Martabat Perjuangan” itu sudah mencecah 75 peratus, manakala baki 25 peratus lebih ke arah perhiasan serta aspek teknikal audio dan  visual.

“Kesemua persediaan dalam dan luar stadium telah dinilai hari ini dan kami sudah bersedia menerima tetamu dari dalam dan luar Kuala Lumpur.”

“Insha-Allah, segenap ruang dalam Stadium Nasional Bukit Jalil akan dipenuhi lautan merah penyokong Sang Saka Bangsa, sekali gus menggambarkan kesetiaan kepada Presiden dan kesiapsiagaan anggota UMNO menempuhi pilihan raya umum akan datang,” katanya selepas meninjau persiapan acara berkenaan, di sini hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang datang turut berpeluang mengunjungi karnival kerjaya di luar stadium yang menawarkan hampir 10,000 peluang pekerjaan meliputi pelbagai bidang, selain dihiburkan dengan persembahan artis terkemuka tanah air.

Selain itu, Rauf berkata, lebih 50 trak makanan akan ditempatkan di luar stadium yang menyajikan pelbagai jenis makanan dan minuman untuk tetamu.

“Ini adalah bagi membantu perniagaan usahawan IKS (industri kecil dan sederhana), dan dengan kehadiran mereka (pengusaha trak makanan), sudah pasti kebersihan, dan aspek pengawalan kualiti makanan akan lebih terjaga,” katanya lagi.

Pengunjung berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah termasuk kereta yang kesemuanya berjumlah hampir RM1 juta, khas untuk mereka yang bertuah dan sudah pun mendaftarkan diri melalui aplikasi Malaysia 4 All.

Acara kemuncak bagi sambutan tersebut ialah amanat daripada Presiden UMNO, yang juga Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak tentang hala tuju parti, terutamanya dalam menghadapi cabaran pilihan raya umum akan datang.

0 comments:

Post a Comment