Saturday 13 May 2017

PAS Pulau Pinang Perlu Bertegas


BALIK PULAU: PAS Pulau Pinang perlu memuktamadkan status hubungannya dengan kerajaan negeri, susulan tindakan parti itu yang memutuskan kerjasama politik dengan PKR pada Khamis lalu. 

Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata ketika ini satu-satunya wakil PAS, Datuk Mohd Salleh Man, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir masih berada dalam pentadbiran kerajaan negeri, sekali gus menimbulkan rasa tidak senang kepada pihak lain. 

"Sepatutnya dia (Mohd Salleh) sendiri yang tarik diri dan saya rasa ramai orang PAS yang menunggu tindakan itu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Peningkatan Ekonomi di Pusat Khidmat Parlimen Balik Pulau di sini. 

Kedudukan Mohd Salleh yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dipertikai pelbagai pihak sejak 2015, berikutan beliau adalah satu-satunya wakil tunggal PAS yang masih kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri. 

Mengulas mengenai status tiga EXCO PAS dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, Dr Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, secara logiknya mereka perlu menarik diri demi menghormati pendirian parti.

"Kalau ikut logik, mereka harus tarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri. Ia adalah sebagai simbolik bahawa mereka patuh dan setia kepada parti," katanya. 

Khamis lalu, Majlis Syura Ulama PAS mengumumkan tahaluf siyasi parti itu dengan PKR terbatal serta merta.

sumber - berita harian 

0 comments:

Post a Comment