Tuesday, 2 May 2017

PEKERJA MUDA DAN REALITI HARI INI - SENATOR KHAIRUL AZWAN HARUN


HARI pertama pada bulan Mei adalah hari pekerja antarabangsa iaitu satu hari yang ditetapkan bagi memperingati akan perjuangan dalam menegakkan hak dan pencapaian golongan pekerja. Walaupun asal usulnya yang mempunyai pengaruh gerakan kesatuan sekerja, dalam realiti hari ini hak pekerja adalah sesuatu yang termaktub di dalam hak asasi manusia yang dipegang oleh semua pihak tanpa mengira aliran politik.

Namun tidak seperti zaman revolusi industri yang mana perjuangan golongan pekerja lebih tertumpu kepada pertembungan kelas, hari ini cabaran golongan pekerja khususnya pekerja muda adalah jauh lebih getir yang ­datangnya bukan dari majikan atau konglomerat, tetapi datang dari globalisasi dan teknologi.

Dalam era globalisasi di mana sebuah telefon pintar yang di­reka di Amerika Syarikat, di kilang di China oleh pekerja Vietnam dan dijual di KLCC, pekerja muda Malaysia kini perlu bersaing dalam suasana yang serupa. Globalisasi adalah satu fenomena yang mana garis-garis sempadan perdagangan sudah semakin pudar yang memudahkan barangan menembusi satu-satu pasaran pada kos yang jauh lebih rendah. Ingatlah bahawa sepantas kita dapat membeli keluaran iPhone terbaharu dari Cupertino, California sepantas itu jualah untuk satu-satu pekerjaan sektor pengila­ngan dan perkhidmatan boleh hilang ke Vietnam atau India.

Graduan pada hari ini harus bertanya kepada diri sendiri, apakah kelebihan yang mereka ada berbanding dengan graduan dari negara lain? Contohnya apa yang membuatkan seorang graduan kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia lebih bernilai daripada graduan dari India, Indonesia ataupun Filipina, kerana pada zaman penembusan jalur lebar yang tinggi dan pesat, manusia boleh be­kerja dari mana-mana sahaja dan tidak terikat pada satu pejabat.

Sedangkan penulis pun boleh menyiapkan satu-satu artikel di sebuah kedai kopi yang mempunyai internet atau seorang arkitek boleh menyiapkan lakaran dari rumah, realiti hari ini adalah peluang pekerjaan itu merupakan satu persaingan di peringkat antarabangsa.

Ini tidak termasuk lagi cabaran dalam bentuk kemajuan teknologi automasi yang mana banyak kerja-kerja ­manual manusia telah diambil alih oleh robot dan mesin. Daripada sektor perkilangan hinggalah ke penghantaran yang mana robot-robot terbang ‘drone’ sudah mula menghantar bungkusan dan barang-barang secara autonomi ‘autonomous’.

Dalam menghadapi cabaran ini kita tidak boleh bergantung dengan kaedah tradisi dan kuno, berpersatuan dan gerakan protes kesatuan tidak akan dapat menyelamatkan pekerjaan di era pasaran bebas ini. Sebagaimana anda boleh memilih untuk membeli barang itu dari mana-mana kedai yang menawarkan harga dan pakej terbaik, begitu jualah dengan majikan dalam memilih pekerja mereka.

Pekerja muda Malaysia pada hari ini harus mempunyai daya saing dan kelebihan bagi memastikan masa depan pekerjaan mereka terjamin. Maka sebab itulah penting untuk kita menelaah semula hala tuju negara dalam rangka TN50 yang mana penaakulan dalam menentukan definisi sesebuah negara maju itu jauh berbeza dari zaman 90-an sewaktu wawasan 2020 dicanangkan. Pekerja muda hari ini harus fokus kepada kemahiran yang tinggi dan keyakinan serta jati diri sendiri yang kuat dalam menghadapi cabaran pasaran antarabangsa.

Jangan kita terlalu ter­perangkap dengan definisi lama akan erti sesebuah negara maju, sesungguhnya mempunyai ki­lang yang banyak tidak punyai sebarang makna sekiranya gaji dan peluang pekerjaan adalah bertaraf rendah.
Wajar kita pandang ke hadapan dalam merangka kemajuan dalam memberi tumpuan kepada kemahiran baharu, memajukan sektor perkhidmatan taraf tinggi dan meningkatkan daya saing yang unik untuk memastikan Malaysia terus dapat bersaing di era globalisasi hari ini. 

SENATOR KHAIRUL AZWAN HARUN ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Sumber : Utusan Online

0 comments:

Post a Comment