22 MEI: Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid kesal dengan tindakan Speaker Dewan, Datuk Law Choo Kiang yang juga ADUN PKR, menolak usul mendesak Ketua Menteri Lim Guan Eng berundur sementara sehingga selesai perbicaraan kes rasuahnya.
Ini kerana usul tersebut dikatakan telah ditolak tanpa dibahas atas alasan teknikal.
Tambah Jahara, ia juga menunjukkan niat buruk kerajaan negeri menutup mulut pembangkang mengenai isu-isu penting melibatkan amanah rakyat.
Berikutan itu kesemua sepuluh ADUN UMNO di Pulau Pinang hari ini memakai riben putih pada kemeja mereka kerana yakin pentadbiran amanah yang dijanjikan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP sudah terkubur.
Guan Eng sebelum ini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran untuk kegunaan peribadi dan menyalahguna kuasa berhubung penukaran status sebidang tanah.
Susulan daripada itu Jahara dan ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad telah mengemukakan usul meminta Guan Eng melepaskan semua jawatan awam beliau sehingga perbicaraannya selesai.
Speaker DUN bagaimanapun menolak usul itu kerana kononnya kes Guan Eng itu tidak termaktub dalam undang-undang sedia ada bersabit penjawat awam yang disabit kesalahan jenayah.
Jahara menegaskan usul itu dikemukakan demi kepentingan awam dan hanya bertujuan meminta Guan Eng berundur sementara atas prinsip kebertanggungjawaban.
“Speaker berlaku tidak adil kerana menggunakan peruntukan undang-undang yang salah untuk menolak usul kami.
“Kami merujuk keperluan Ketua Menteri untuk meletak jawatan sehingga kes mahkamahnya selesai demi membela integriti jawatan itu,” kata beliau.
Menurut Farid usul yang dikemukakan menekankan perlunya penjawat awam termasuk Ketua Menteri yang menghadapi perbicaraan kes jenayah meletak jawatan sehingga keputusan mahkamah di ketahui.
“Bagaimanapun Speaker DUN menggunakan undang-undang mengenai penjawat awam yang di sabit kesalahan untuk menolak usul kami.
“Ia adalah dua perkara berbeza dan keputusannya tidak masuk akal,” kata beliau.
0 comments:
Post a Comment