Thursday 4 May 2017

Rakyat Wajib Patuh Kepada Pemimpin Yang Menjaga Rakyat


Pelaksanaan gabungan prinsip Wala’-Wasatiyyah-Tabayyun menjelmakan satu kitaran antara pemimpin dan rakyat demi kelangsungan sebuah negara yang dambakan kemajuan serta kejayaan hakiki mengikut landasan agama Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa Wala’ membawa maksud kepatuhan, sumpah setia serta memberi taat adalah wajib diberikan kepada seseorang pemimpin yang sah dan institusi kepemimpinan yang dijunjung itu.

“Manakala tuntutan terhadap Wala’ dan taat setia kepada kepimpinan kerajaan, dalam perspektif Malaysia sejak lebih enam dekad diimbangi pula dengan amalan Wasatiyyah,” lapor BERNAMA, Rabu.

Najib berkata demikian dalam ucapannya pada Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 ‘Fiqg Wala’ dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara di Putrajaya.

Berlangsung selama tiga hari bermula semalam, seminar anjuran Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), dihadiri lebih 700 peserta tempatan dan antarabangsa itu menyaksikan tujuh sesi pembentangan membabitkan 16 kertas kerja.

Tegas Najib, beliau melihat tanpa amalan konsep berkenaan, orang Islam di negara lain mudah terjerumus ke kancah salah tafsirnya sebagaimana ancaman berbahaya IS dan Daesh, sehingga sanggup menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Sebab itulah kita tidak mahu rakyat negara ini tanpa dibimbing dengan pegangan ‘Wala’ dan ‘Wasatiyyah’ seperti yang digariskan oleh Islam, tersasar atau terpesong menjadi golongan yang terlalu longgar serta terlalu liberal, sampaikan sanggup mengamalkan budaya Machiavelli,” katanya.

Perdana menteri juga berkata sebagai pemimpin dan ketua kerajaan, beliau terbuka kepada pandangan serta menerima teguran yang membina.

“Namun, sebarang kritikan atau teguran itu sama sekali tidak wajar disulami dengan fitnah, cacian atau tohmahan jahat yang boleh menjatuhkan aib dan bertujuan untuk merosakkan nama baik pemimpin,” katanya.

Jelasnya perkara itu sejajar dengan konsep ‘tabayyun’ iaitu menyelidiki dahulu sesuatu berita dengan teliti, sebelum mempercayai dan membuat keputusan untuk menyebarkannya.

“Apabila setiap seorang daripada kita memahami sedalam-dalamnya prinsip tiga serangkai iaitu Wala’s-Wasatiyyah-Tabayyun, biar apapun cabaran dan dugaan yang mendatang, sebagai ummah kita pasti akan terus teguh berdiri mencapai tahap ummah ‘par excellence’, atau Khayra Ummah yang disegani oleh kawan dan lawan,” katanya.

Menurutnya lagi, Wala’ wajib diberikan oleh ahli-ahli parti dalam sesuatu organisasi serta rakyat Malaysia keseluruhannya kepada kerajaan kerana segala usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh pentadbiran negara adalah demi kepentingan rakyat.

“Ertinya jauh sekali untuk kerajaan seperti Malaysia bertindak zalim atau apa-apa yang memudaratkan rakyat dan negara,” katanya.

Pada masa yang sama, Najib berkata kerajaan menyeru kepada yang maaruf, sekaligus berusaha mencegah yang mungkar.

“Justeru para ulama berpendapat, dalam situasi Malaysia hari ini, Wala’ adalah sampai kepada tahap wajib diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO. Apatah lagi, kerajaan sedia ada telah sejak dulu dipilih melalui jalan dan sistem demokrasi yang sah.

0 comments:

Post a Comment