Tuesday 23 May 2017

Setelah 9 Tahun Tiada Rumah Perlindungan Wanita Di Bawah Kerajaan Negeri P.Pinang


GEORGETOWN - Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) hari ini mempersoal usaha kerajaan negeri Pulau Pinang dalam menyediakan rumah perlindungan untuk wanita dan kanak-kanak yang didakwa banyak diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata, selepas sembilan tahun kerajaan DAP mentadbir negeri ini, hanya terdapat tiga pusat perlindungan wanita dan kanak-kanak yang diusahakan Majlis Kebajikan Wanita Pulau Pinang (Rumah Perlindungan Sosial), Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

"Kenapa setelah sembilan tahun, tidak ada sebarang tindakan dilaksanakan kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan yang cukup penting ini? Kenapa dibiarkan kepada NGO? Apakah tindakan positif kerajaan negeri untuk menangani masalah wanita dan kanak-kanak yang berlaku di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meminta penjelasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Chong Eng, pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri di sini.

Beliau berkata kerajaan negeri seharusnya memberi lebih perhatian kepada permasalahan wanita dan kanak-kanak di negeri ini.

"Sebenarnya pusat perlindungan ini pun kena dikategorikan. Contohnya perlindungan untuk mangsa keganasan domestik, mangsa serangan seksual dan sebagainya serta mangsa atau ibu yang secara tidak sukarela mengandung luar nikah. Semua ini adalah kategori yang berlainan," katanya.

Dalam pada itu, Jahara turut meminta kerajaan negeri meneruskan usaha kerajaan negeri terdahulu iaitu membangunkan sebuah rumah perlindungan wanita di atas tapak seluas 5.26 hektar di Seberang Perai, yang sehingga kini belum dibangunkan.

Terdahulu, Chong Eng berkata, tiada rumah perlindungan wanita di bawah kerajaan negeri, namun kerajaan negeri dengan kerjasama WCC telah menubuhkan Pusat Perkhidmatan Wanita (PPW) yang memberi perkhidmatan kaunseling, perlindungan sementara dan nasihat guaman untuk golongan wanita yang menghadapi krisis.

Beliau berkata, tanggungjawab menyediakan pusat perlindungan itu terletak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kemudahan berkenaan disediakan berdasarkan kepada keperluan.

Katanya dari 2012 hingga 2016, seramai 234 wanita diberi perlindungan di ketiga-tiga pusat perlindungan berkenaan manakala 23 wanita yang mengandung luar nikah ditempatkan di Pusat Perlindungan Wanita Darul Sakinah.

"Seramai 132 wanita atau gadis yang mengandung luar nikah pula ditempatkan di Majlis Kebajikan Wanita sehingga bayi selamat dilahirkan dan 79 wanita serta 67 kanak-kanak yang merupakan anak atau jagaan kepada mangsa keganasan domestik, masalah rumah tangga, serangan seksual dan masalah perhubungan ditempatkan di WCC," katanya. - Bernama

1 comments: