Wednesday 24 May 2017

Speaker DUN P. Pinang Tolak Usul Guan Eng Bercuti : Integriti Dap Cap Ayam



BUKIT BENDERA – “Integriti cap ayam..” demikian luahan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abd Rahim berkaitan ketelusan dan keadilan yang diamalkan pentadbiran Dap di negeri itu.

Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang hari ini menolak usul pembangkang (BN) untuk menuntut Ketua Menteri, Lim Guan Eng bercuti sementara menunggu perbicaraan kes rasuahnya atas alasan teknikal menjadi bukti bagaimana slogan Cekap, Akauntibiliti dan Telus (CAT) yang diwar-warkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai asas kepada dasar pentadbiran hanyalah satu slogan yang hanya tertulis di atas kertas tanpa membawa sebarang erti.

“Hak kebebasan bersuara, ketelusan yang diwar-warkan dan kononnya bersikap adil hanyalah satu hipokrasi politik Dap untuk mengaburi mata rakyat.

“Mereka sering menuding jari ke arah BN dan UMNO tetapi sebenarnya wajah Dap lah yang buruk dan cuba disembunyikan disebalik topeng.

“Penolakan usul ini membuktikan pemimpin Dap hanya fokus untuk menjatuhkan kredibiliti pemimpin UMNO dan BN serta tidak konsisten apabila perkara yang sama berlaku kepada pemimpin mereka sendiri… inilah sikap ‘double standard’ amalan pembangkang,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tegas Rafizal, Dap sepatutnya malu kerana sebelum ini mereka begitu ghairah mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan selepas pendakwa raya Amerika Syarikat memfailkan tindakan undang-undang berkaitan syarikat pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah katanya lagi ketika Tan Sri Abdul Rahim Tambi Chik didakwa di mahkamah, Guan Eng adalah individu yang bersungguh-sungguh mahu beliau meletak jawatan.

“Kini apabila terkena batang hidung sendiri, timbullah alasan kononnya Guan Eng diperangkap dan dijadikan kambing hitam.

“Rakyat patut menilai bagaimana ketika Dr Mohamad Khir Toyo dikaitkan dengan dakwaan yang hampir sama dengan kes Guan Eng, beliau meletakkan jawatan Ketua Pembangkang Selangor dan memulangkan semula Darjah Kebesaran Selangor.

“Begitu juga dengan kes terbaru yang menimpa pemimpin UMNO iaitu Datuk Abd. Latif Bandi… beliau juga meletak jawatan sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor.

“Tetapi berbeza dengan pembangkang khususnya Dap… apabila terpijak tahi sendiri, Guan Eng bukan sahaja enggan melepaskan jawatan, malah menuduh ada pihak lain yang cuba menjadikannya kambing hitam. Ini soal integriti dan kredibiliti. Maka jelaslah integriti Dap adalah integriti cap ayam,” katanya lagi.

Untuk rekod, Guan Eng ketika ini berdepan dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Setiausaha Agung Dap yang belum disahkan jawatan itu menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

0 comments:

Post a Comment