Tuesday, 30 May 2017

Tender Terbuka , Kerajaan Negeri Sengaja Buat Tak Faham


Isu penjualan tanah oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Lebuh Peel terus mendapat perhatian banyak pihak memandangkan proses penjualan tanpa melalui tender terbuka itu dilihat sebagai bukti bahawa kerajaan negeri selama ini menipu rakyat.

Walaupun kerajaan negeri telah memberikan alasan bahawa penjualan tanah terbabit dibuat tanpa melalui tender terbuka disebabkan oleh projek berimpak tinggi , ramai dari kalangan warga Pulau Pinang khususnya tertanya-tanya kenapa ianya tidak dimaklumkan sewaktu isu tender terbuka diwar-warkan sebagai amalan dan dasar kerajaan negeri Pulau Pinang.

Kenapa kerajaan negeri dilihat seolah-olah cuba mengaburi mata rakyat dengan menyembunyikan keputusan untuk membenarkan penjualan tanah yang berimpak tinggi dilakukan tanpa melalui tender terbuka dan hanya memaklumkan situasi tanah di Lebuh Peel setelah ianya didedahkan ?

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini mendabik dada dan mendakwa bahawa hanya satu peratus daripada keseluruhan RM38 bilion projek yang direncanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak melalui tender terbuka.

Kenyataan ini disiarkan dalam akaun facebook milik Lim Guan Eng sendiri ;

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, hanya satu peratus projek yang membabitkan kejadian bencana atau kecemasan tidak melalui tawaran tender terbuka.

"Itupun cuma satu peratus sahaja, 99 peratus lagi daripada RM38 bilion adalah melalui tawaran tender terbuka.

"Jadi, saya tidak faham kenapa ada pihak yang mendakwa Kerajaan Negeri tidak 'pakai' tender terbuka sedangkan semua projek...99 peratus melalui tender terbuka." - rujukan 

Persoalannya apakah projek melibatkan hospital swasta itu termaktub dalam istilah bencana dan kecemasan dan apakah keperluan projek ini memandangkan terdapat juga cadangan pembinaan hospital swasta dilengkapi kemudahan hotel dan tempat letak kenderaan bertingkat di Taman Manggis ?

Ternyata ianya adalah satu kenyataan yang cukup mengelirukan dan putar belit ini kemudiannya dipersoalkan oleh wakil BN di Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.


YB Datuk Shah Headan Ayoob Shah (BN-Teluk Bahang) berkata kerajaan di bawah pentadbiran DAP menjanjikan mereka akan mengamal sistem tender terbuka terhadap semua projek kerajaan negeri selepas memimpin negeri ini.

Malah mendesak kerajaan negeri supaya mengemukakan statistik jumlah syarikat swasta yang telah menerima tender secara tertutup atau rundingan.

"Kalau betul hanya satu peratus sahaja projek pembangunan di negeri ini dijual secara tender tertutup, kerajaan negeri perlu beri statistik itu, jangan hanya cakap tanpa fakta," katanya ketika Ketua Menteri Lim Guan Eng menggulung perbahasan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.


Manakala Ketua Pembangkang DUN Datuk Jahara Hamid pula berkata pihaknya juga ingin mendapat jawapan daripada kerajaan negeri yang lewat mendedahkan penjualan tanah di Lebuh Peel walaupun perjanjian dimeterai dalam tempoh lama.

"Kami faham kerajaan negeri mahu lakukan pelaburan strategik dengan menjemput pelabur luar masuk ke negeri ini tetapi kenapa mahu sorok dan pada hari ini hanya membentangkan secara lisan tanpa terma yang tepat," katanya.

Guan Eng mungkin tertanya-tanya kenapa perlunya pertikaian ini berlaku memandangkan ianya hanya melibatkan 1% daripada keseluruhan projek yang melalui tender terbuka yang diperkatakan beliau.

Yang Guan Eng tak faham atau buat-buat tak faham adalah pertikaian itu melibatkan integriti Kerajaan Negeri Pulau Pinang selain janji yang diwar-warkan sebelum ini untuk mengamalkan tender terbuka bagi semua projek di Pulau Pinang ?

Sebab itulah wakil-wakil BN semasa Sidang Dewan baru-baru ini dengan jelas mengatakan bahawa CAT sebenarnya sudah mati di Pulau Pinang.

0 comments:

Post a Comment