Sunday 28 May 2017

UMNO Persoal Tindakan Kerajaan Pulau Pinang Berhutang Dengan Bank China


BUKIT MERTAJAM - UMNO Pulau Pinang pelik dengan tindakan kerajaan negeri mahu berhutang dengan sebuah bank di China, sedangkan sebelum ini Ketua Menteri Lim Guan Eng memberitahu mempunyai lebihan bajet serta simpanan kira-kira RM1.2 bilion.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata kerajaan negeri juga sepatutnya menggunakan dana yang diperoleh daripada hasil jualan tanah kerajaan negeri untuk tujuan pembangunan, bukannya berhutang dengan bank berkenaan.

Beliau mendakwa sebelum ini beberapa akhbar melaporkan kerajaan negeri memperoleh keuntungan kira-kira RM12.5 bilion daripada penjualan tanah, tidak termasuk hasil projek lain yang dibangunkan di negeri ini.

"Sepanjang Barisan Nasional (BN) memerintah Pulau Pinang, tidak pernah langsung BN meminjam sehingga ke luar negara, lagipun kerajaan negeri pimpinan Lim mempunyai dana hasil penjualan tanah.

"Selain itu, beliau (Lim) juga sebelum ini memberitahu mempunyai lebihan bajet serta simpanan kira-kira RM1.2 bilion dan mengapa tiba-tiba mahu meminjam wang. Saya pelik dengan tindakan kerajaan negeri," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemimpin bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, hari ini.

Beliau mengulas berhubung persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini yang meluluskan Rang Undang-Undang Pinjaman Negeri Pulau Pinang (Bank dan Sumber-sumber Kewangan Lain) 2017 yang membolehkan kerajaan negeri membuat pinjaman daripada sebuah bank di China.

Lim yang membentangkan rang undang-undang itu dilaporkan berkata enakmen diperkenalkan bagi mewujudkan suatu perundangan baharu mengenai pinjaman kerajaan negeri dan ia adalah atas inisiatif untuk memberi limpahan pelaburan dan merancakkan pertumbuhan sosioekonomi, melaksanakan pembangunan fizikal demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat.

Zainal Abidin turut menyifatkan inisiatif itu sebagai tindakan untuk menjual dan menggadaikan negara.

"Nampaknya kini mereka juga tidak menafikan pelaburan dari negara luar itu penting tetapi jika boleh (kerajaan negeri) gunalah dahulu dana dalaman sebelum membuat pinjaman apa lagi semua sudah mengetahui hasil keuntungan kerajaan negeri agak besar," katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata UMNO Pulau Pinang mempunyai strategi baharu yang diyakini dapat membantu merampas kembali parlimen Permatang Pauh pada Piliharaya Umum Ke-14 terutama jika berlaku pertandingan tiga penjuru di situ.

"Kalau satu lawan satu pun saya percaya UMNO boleh menang kali ini kerana kita ada strategi tetapi jika tiga penjuru itu satu bonus kepada kami. UMNO Permatang Pauh telah lama mengerakkan jentera dan pengundi juga mula menerima dengan baik," katanya.

sumber - bernama

0 comments:

Post a Comment