Friday 23 June 2017

BNM Beri Kerjasama Penuh Kepada RCI Berkaitan Kerugian Forex


KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam menyediakan maklumat berkaitan kerugian pasaran tukaran asing (forex).

Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata ia akan memberikan maklumat seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

BNM menyambut baik pembentukan RCI oleh kerajaan untuk menyiasat secara bebas kerugian forex dan menyelesaikan peristiwa yang berlaku lebih 25 tahun lepas.

“Di mana-mana negara, kesahihan, integriti dan kredibiliti bank pusat sangat penting dalam mengekalkan keyakinan orang ramai dalam sistem kewangan yang kukuh dan ekonomi yang stabil,” kata BNM.

Bank pusat berkata ia memberi jaminan kepada orang ramai dan pasaran kewangan bahawa ia tidak akan terganggu daripada menjalankan kewajipan negara dalam melaksanakan mandatnya.

“Kami akan tegas dalam melindungi kestabilan monetari dan kewangan negara, serta kelancaran fungsi sistem pembayaran,” kata BNM.

Selain dari itu penubuhan RCI ini turut disokong oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia , Senator Khairul Azwan Harun dalam kenyataan medianya berkata Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyatakan sokongan terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) khusus dalam usaha menyiasat kerugian urusniaga FOREX oleh Bank Negara Malaysia yang berlaku lebih dari 25 tahun yang lalu.

Pemuda UMNO menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan atas penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat aktiviti urusniaga tukaran wang asing (FOREX) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar tahun 1980an dan 1990an.

Pemuda UMNO pada 6 Februari 2017 yang lalu telah mencadangkan kepada pihak kerajaan bagi penubuhan RCI tersebut termasuk untuk menyiasat sama ada telah wujud usaha 'cover up' terhadap kerugian sebenar waktu itu.

Pemuda UMNO amat yakin bahawa RCI yang dibentuk ini akan dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan telus seterusnya mampu untuk merungkai isu tersebut yang telah berlanjutan sejak sekian lama.

0 comments:

Post a Comment