Saturday 17 June 2017

Ekonomi Malaysia Meneruskan Momentum Pertumbuhan Q1 Pada Suku Kedua – Prof Ekonomi


KUALA LUMPUR, 17 Jun –  Ekonomi Malaysia dijangka meneruskan momentum pertumbuhan suku pertamanya  (Q1) yang mantap ke suku berikutnya, selari dengan kebanyakan negara maju, kata seorang pakar ekonomi.

Dr Yeah Kim Leng, Profesor Ekonomi Sekolah Perniagaan Sunway University berkata bacaan Indeks Pengurus Pembelian terkini menunjukkan kebanyakan ekonomi maju dan pesat membangun seperti China dan India, kekal dalam jajaran positif, sekali gus akan memberi  kesan limpahan ke negara lain, termasuk Malaysia.

“Kami menjangkakan dorongan global akan mengekalkan momentum pertumbuhan Malaysia, dan yang penting, kami menjangkakan limpahan positif yang lebih tinggi daripada eksport kepada pelaburan swasta dalam negeri dan aktiviti penggunaan sekurang-kurangnya pada suku kedua dan ketiga,” katanya kepada Bernama.

Saluran utama penyampaian adalah menerusi peningkatan pendapatan, sentimen pelabur yang bertambah baik dan keyakinan pengguna yang lebih kukuh, kesemuanya disokong oleh prospek pekerjaan dan gaji yang lebih baik (kerana kedua-dua eksport dan industri berorientasikan dalam negeri meningkat hasil perbelanjaan yang lebih tinggi).

Bank Dunia telah menyemak naik pertumbuhan ekonomi 2017 Malaysia kepada 4.9 peratus berbanding  4.4 peratus yang diunjurkan pada April, didorong oleh penggunaan swasta yang kukuh ekoran kedudukan pasaran buruh yang bertambah baik.

Pengarah Negara bagi Asia Tenggara, Ulrich Zachau, berkata semakan semula itu, seperti yang ditunjukkan dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.6 peratus pada Q1 tahun ini, termasuk peningkatan pelaburan swasta dan projek infrastruktur utama yang diterajui kerajaan, merupakan faktor penyumbang utama.

Ia juga menyemak semula unjuran pertumbuhan untuk 2018 dan 2019 masing-masing kepada 4.9 peratus dan lima peratus.

Unjuran bagi 2017 merupakan peningkatan daripada unjuran sebelumnya, dan melepasi jangkaan  kerajaan antara 4.3 peratus hingga 4.8 peratus … dan ini adalah selaras dengan anggaran konsensus, yang mengharapkan pengembangan ekonomi yang lebih cepat.

Yeah berkata peningkatan eksport  dan limpahan yang dijangkakan lebih besar ke atas permintaan apabila pelabur dan pengguna bertambah yakin untuk berbelanja, merupakan faktor utama yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih kukuh daripada jangkaan yang diunjurkan bagi tahun ini.

Sementara itu, langkah-langkah yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia untuk mengetatkan kawalan ke atas spekulator mata wang yang telah menggunakan pasaran luar pesisir untuk membuat spekulasi ke atas ringgit, berhasil dengan mata wang itu semakin mengukuh dan portfolio pelabur  asing kembali memasuki negara.

Yeah, bagaimanapun berkata beberapa risiko luaran utama mungkin mengancam sasaran pertumbuhan, iaitu dasar perlindungan di Amerika Syarikat yang mungkin dilaksanakan oleh Presiden Donald Trump, lebih cepat daripada jangkaan ialah mengembalikan kadar faedah pada paras normal dan pengurangan lembaran imbangan oleh Rizab Persekutuan US.

“Cabaran lain termasuk pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah secara tidak teratur atau diikenali sebagai ‘Hard Brexit’ serta konflik yang semakin meluas dalam kalangan anggota Majlis Kerjasama Teluk berikut pengasingan Qatar.

“Dalam negara, kos sara hidup dan perniagaan yang semakin meningkat, pengucupan nilai mata wang serta ketidaktentuan politik yang timbul menjelang pilihan raya umum pada  akhir tahun ini atau selewat-lewatnya April tahun depan, merupakan antara cabaran utama terhadap  ekonomi,” katanya.

0 comments:

Post a Comment