Friday 23 June 2017

Guan Eng Enggan Jawab Desakan BN


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng enggan mengulas desakan BN berhubung isu pembayaran kepada pemegang konsesi untuk projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Lim Guan Eng ketika mengadakan sidang media di Pejabat Ketua Menteri, Komtar hanya berkata "mungkin hari lain (untuk jawab)" kepada media yang bertanyakan isu tersebut kepadanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilihat dengan sengaja tidak mahu mengulas perkara yang dibangkitkan dan beliau jelas dilihat kurang selesa sehingga bangun dari tempatnya dan meminta sesi bergambar diadakan.

Sebelum itu , Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan memberi tempoh seminggu kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk menerangkan sebab bayaran kepada pemegang konsesi untuk projek pembinaan infrastruktur tersebut adalah empat kali ganda lebih tinggi daripada kadar bayaran yang dibenarkan.

Abdul Rahman berkata, jika gagal, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara itu ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Isu tersebut turut mendapat perhatian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang , Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang mendesak Ketua Menteri Lim Guan Eng memperincikan bayaran kepada pemegang konsesi untuk projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa empat kali ganda lebih mahal.

Beliau berkata pihaknya juga ingin tahu mengapa bayaran oleh kerajaan Pulau Pinang sebanyak RM177.5 juta itu dibuat lebih awal tanpa melihat kerja-kerja projek tersebut secara fizikal.

“Kita semua maklum di Pulau Pinang, kerajaan negeri dari semasa ke semasa memberitahu rakyat menjadi keutamaan dalam tindakan serta agenda kerajaan negeri, jadi UMNO mewakili rakyat inginkan penjelasan daripada Lim berhubung pembayaran awal tersebut.


“Pihak kontraktor dan konsultan projek itu telah dibayar tetapi saya difahamkan (projek terowong dasar laut) ditangguhkan hingga tahun depan jadi apa kerja mereka buat dengan bayaran yang begitu banyak?” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kuih Raya kepada anggota polis, penjara, hospital dan PLUS yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

0 comments:

Post a Comment