Thursday 8 June 2017

Islam Tidak Jadikan Agama Lain Musuh - Zahid


KUALA LUMPUR - Usaha menegakkan syiar Islam di negara ini tidak akan mengorbankan hak bukan Islam atau menjadikan agama-agama lain sebagai musuh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penekanan itu adalah selari dengan prinsip Islam yang mementingkan kesejahteraan dan keamanan.

“Kita meletakkan Islam pada kedudukan yang tinggi. Kita berusaha menegakkan syiar Islam dengan tidak menjadikan agama lain sebagai musuh. Ini kerana Islam mengutamakan keamanan dan pada masa sama turut membantu yang bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis berbuka puasa dan sumbangan Hari Raya Aidilfitri serta pelancaran pembangunan Maahad Tahfiz Al-Madrasathul Faridiyah di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari; Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang juga Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Tan Sri Dr. Zulhasnan Rafique; Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abdul Halim Abdul Samad dan Pengerusi Maahad Tahfiz Al-Madrasathul Faridiyah, Datuk Jawahar Ali Taib Khan.

Dalam majlis itu juga, Timbalan Perdana Menteri dan beberapa tetamu kehormat bersama-sama menyampaikan sumbangan kepada 1,300 penerima terdiri daripada asnaf termasuk anak yatim, orang kurang upaya serta golongan miskin bukan Islam dari sekitar Parlimen Setiawangsa.

Ahmad Zahid juga berkata, pihaknya akan berikhtiar bagi mendapatkan lagi dana RM2.5 juta untuk tujuan pembangunan Maahad Tahfiz Al-Madrasathul Faridiyah sebagai tambahan RM2 juta yang telah diumumkan untuk sekolah tahfiz tahun lalu.

sumber - utusan

0 comments:

Post a Comment