Friday 30 June 2017

Kawasan Hijau P.Pinang Terancam - Bekas Wakil Rakyat Pembangkang Setuju Dengan Ahli Parlimen Balik Pulau


Bekas Ahli Parlimen PKR, Yusmadi Yusoff bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Balik Pulau , Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya bahawa kawasan hijau di Pulau Pinang kini semakin terancam disebabkan pelbagai projek pembangunan tidak terancang.

Malah katanya masyarakat tempatan Balik Pulau memerlukan satu rancangan pembaharuan tanah, dan bukannya kenyataan yang dibuat oleh ahli politik untuk kepentingan mereka sendiri.

“Apa yang berlaku hari ini adalah bahawa penduduk di Balik Pulau dituduh menjadi penduduk setinggan di tanah sendiri.

“Ini adalah orang yang sama ke sekolah atau masjid bersama saya, tetapi sekarang mereka menjadi penduduk setinggan,” kata peguam itu yang pernah menjadi wakil rakyat Balik Pulau, selama sepenggal iaitu antara tahun 2008 dan 2013.

Sehubungan itu, Yusmadi telah membentuk penubuhan sebuah pasukan petugas untuk membantu penduduk kampung yang terjejas dengan pengusiran itu.

Dr Hilmi sebelum ini berkata berikutan projek pembangunan tidak terancang oleh Kerajaan Pulau Pinang diketuai DAP, kehijauan di negeri itu, terutama Balik Pulau semakin terancam.

Dahulunya, Balik Pulau merupakan kawasan hijau yang bersih dengan kampung-kampung tradisional terpelihara serta kebun buah-buahan dan sawah padi.

“Ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN), tidak ada kondominium atau banglo mewah di tengah-tengah hutan di Balik Pulau.

“Kami benarkan pembangunan namun kami laksanakannya berdasarkan pelan struktur dan hanya kawasan tertentu boleh dibangunkan,” jelas Dr Hilmi yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini.

Dr Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan turut mengulas kenyataan wakil rakyat DAP, Dr Tan Seng Giaw yang membuat kritikan mengenai kehijauan di Pulau Mutiara, terutama Balik Pulau yang semakin terhakis, menerusi akaun Facebooknya minggu lalu.

“Saya setuju sepenuhnya dengan kenyataan Seng Giaw tentang Balik Pulau dan saya bimbang jika keadaan ini berterusan, semua kebun durian dan sawah padi akan hilang dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Saya rasa Ahli Parlimen Kepong itu patut nasihatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng agar mempertimbangkan untuk memperlahankan pembangunan di Balik Pulau,” katanya.

Dr Hilmi juga mendakwa pembangunan oleh kerajaan diketuai Guan Eng, dilakukan secara agresif dengan tertumpu di kawasan berbukit dan lereng bukit untuk tujuan projek pembangunan.

Pada masa yang sama, beliau turut meluahkan kebimbangan projek pembangunan terkini di Teluk Kumbar, Sungai Batu dan Bayan Lepas yang melibatkan kerja-kerja tebus guna laut akan merosakkan habitat hidupan laut, sekaligus mengancam sumber pendapatan nelayan tempatan.

“Pihak kami sudah meminta Universiti Sains Malaysia menjalankan kajian mengenai sebab-sebab kita tidak patut benarkan pembangunan dan kerja tebus tanah di kawasan itu dan laporan sudah diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri serta Menteri Sumber Alsi dan Alam sekitar untuk tindakan lanjut,” katanya.

0 comments:

Post a Comment