Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menasihatkan Deparment Of Justice (DOJ) Amerika Syarikat untuk segera mendakwa semua individu-individu yang disenaraikan mereka sebagai terlibat dengan isu 1 Malaysian Development Berhad (1MDB) dan jangan hanya membuat kenyataan demi kenyataan tanpa sebarang tindakan.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, sekiranya DOJ mendakwa individu-individu yang mereka kaitkan dengan isu penyelewengan 1MDB itu, maka individu-individu terbabit mempunyai peluang untuk mempertahankan diri mereka dan membersihkan nama masing-masing di dalam perbicaraan.
“Saya nak nasihatkan kepada DOJ, kalau mereka mempunyai bukti-bukti yang kukuh, dakwalah. Jangan membuat kenyataan demi kenyataan tanpa mengambil tindakan. Bila mereka itu didakwa, maka mereka berpeluang untuk membela diri masing-masing.
“Tetapi jika hanya dengan kenyataan demi kenyataan namun tidak ada sebarang tindakan yang dibuat, kredibiliti DOJ itu sendiri kita boleh pertikaikan. Jadi saya lihat kenyataan DOJ bukan baru sekarang ini baru timbul, sebelum ini pihak mereka pernah keluarkan kenyataan seperti ini juga.
“Jadi saya nak beritahu mereka, jika betul-betul mereka punyai bukti yang kukuh tentang hal ini, dakwa individu-individu tersebut, ambil tindakan. Inilah keadilan kerana mereka yang didakwa itu boleh menjawab dan membersihkan nama masing-masing,” jelasnya .
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung kenyataan terbaru DOJ berhubung isu penyelewengan 1MDB setelah selesai merasmikan program Taklimat Buku Panduan Manual Pilihanraya Umum ke 14 bertempat di PWTC hari ini.
Hishammuddin juga tidak menafikan, ada sebahagian pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan persepsi yang timbul akibat kenyataan DOJ itu.
“Tindakan DOJ yang tidak bertanggungjawab dengan membuat kenyataan demi kenyataan itu telah menyebabkan timbulnya pelbagai spekulasi dan persepsi yang membenarkan ada pihak tertentu, yang ada pelbagai tujuan dan niat termasuk agenda politik yang cuba mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh berhubung kenyataan DOJ itu,” tegasnya.
0 comments:
Post a Comment