Tuesday 20 June 2017

Kerajaan Terus Bantu Rakyat Yang Memerlukan - Azeez


Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus membantu rakyat yang memerlukan dalam apa jua cara walaupun cara itu dikecam pembangkang.

Pengerusi Yayasan Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahman berkata ini kerana perjuangan kerajaan adalah bersandarkan kebajikan.

"Datuk Seri Najib tidak mahu rakyat sengsara dengan kesusahan yang terpaksa ditempuhi. Atas keprihatinan itulah Yayasan Tabung Haji bersama Biro Keahlian Daftar Pengundi UMNO jalankan Program Ziarah Ramadan untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pada program itu di Kota Belud pada ahad lepas.

Abdul Azeez juga berkata keprihatinan kerajaan tidak mengenal rakyat yang mempunyai fahaman politik berbeza kerana usaha kerajaan dijalankan atas keikhlasan membantu rakyat.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kesungguhan kerajaan membantu rakyat yang memerlukan membuktikan kerajaan memahami kesulitan yang dilalui rakyat.

Beliau juga memuji usaha yang digerakkan oleh Yayasan Tabung Haji untuk membantu meringankan beban kehidupan rakyat bukan sahaja daripada golongan asnaf dan fakir miskin, tetapi juga golongan yang layak dibantu seperti ibu tunggal yang mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu dipikul.

Sejumlah RM300,000 diagihkan kepada 1,000 penduduk Kota Belud daripada kalangan asnaf dan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) pada program itu.

0 comments:

Post a Comment