Sunday 18 June 2017

Manual Garis Panduan Pilihan Raya Akan Diedarkan Menjelang PRU Ke 14 – Hishammuddin


KUALA LUMPUR, 18 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, UMNO kini sedang dalam proses untuk menterjemahkan mood pilihanraya kepada pelaksanaan gerak kerja oleh jentera UMNO di peringkat akar umbi yang dapat memberikan manfaat kepada UMNO dalam menghadapi pilihanraya umum ke 14 tidak lama lagi.

Sehubungan dengan itu menurut Hishammuddin, satu buku manual garis panduan pilihanraya telah pun disediakan untuk diagihkan kepada jentera-jentera UMNO di peringkat akar umbi.

“Tetapi buku manual tersebut tidak akan kita edarkan sehingga dekat dengan saat pilihanraya nanti. Namun ini tidak bermakna tanpa kita mengedarkan manual pilihanraya itu ke peringkat akar umbi, kita hanya berpeluk tubuh saja.

“Jadi selepas ini kita akan turun ke bahagian-bahagian dalam usaha kita untuk memberi penerangan kepada peringkat akar umbi dan kita akan libatkan semua sayap-sayap pemuda, wanita dan puteri di peringkat bahagian.

“Jadi saya harap bahawa usaha ini dapat membantu persiapan kita untuk menghadapi pilihanraya dan dapat memberi sedikit panduan kepada jentera di peringkat akar umbi. Harapan saya pada majlis hari ini akan mendapat restu dan mandat, termasuk pandangan-pandangan daripada setiausaha bahagian kita di semua peringkat,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO Malaysia berkata demikian selepas selesai merasmikan program Perasmian Manual Panduan Pilihanraya Umum Ke 14 bertempat di Dewan Tun Hussein On, Putra World Trade Center (PWCT) di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, setiausaha-setiausaha bahagian juga diberikan mandat untuk meneliti manual pilihanraya tersebut dan bagaimana ianya dapat disesuaikan mengikut suasana di bahagian masing-masing.

“Saya juga mengharapkan agar setiausaha-setiausaha bahagian dapat memberikan input kepada kita apa aspek lagi yang boleh ditambah baik dan yang boleh kita bantu.

“Selain daripada mandat yang diberikan kepada setiausaha bahagian, saya sendiri meminta mandat daripada mereka untuk saya sendiri turun ke bahagian-bahagian, untuk memantau bilik-bilik gerakan dan PDM kita, supaya perkara-perkara yang merupakan kerja untuk menstrukturkan jentera boleh dilakukan sekarang.

“Kita juga boleh menggunakan saluran ini untuk menjawab isu-isu semasa yang mungkin perlu kita jawab. Maklumlah,bila dekat nak pilihanraya seperti sekarang ini, bermacam-macam isu yang akan ditimbulkan oleh pembangkang.

“Justeru itu,  kluster yang dipertanggungjawabkan untuk menangani persepsi –persepsi yang bakal timbul nanti mesti dikenal pasti daripada sekarang,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment