Friday 2 June 2017

Penjualan Saham Proton : Pemuda Desak Tan Sri Syed Mokhtar Tampil Beri Penjelasan


KUALA LUMPUR– Pemuda UMNO hari ini menuntut Tan Sri Syed Mokhtar tampil ke depan menjelaskan perkara sebenar tentang penjualan saham Proton kepada syarikat china, Zhejiang Geely pada minggu lalu.

Penolong Setiausahanya, Datuk Mohamad Sahfri Abd Aziz berkata pergerakan itu juga mendesak Tan Sri Syed Mokhtar menjelaskan siapa pemilik sebenar dan siapa proksi serta penama-penama di belakang Proton.

Menurut beliau jika perkara ini dijelaskan secara baik, pihaknya yakin dan percaya isu-isu yang berbangkit daripada penjualan saham berkenaan akan dapat diketahui oleh masyarakat umum.

“Kita memandang serius kenyataan-kenyataan negatif yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga bekas Pengerusi Proton susulan daripada penjualan saham tersebut.

“Kenyataan beliau telah menimbulkan polemik serta kekeliruan di kalangan para pemerhati serta rakyat dan juga dunia perniagaan tentang masa depan Proton,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kata Sahfri lagi, selaku bekas Tokoh Maal Hijrah, Syed Mokhtar tidak boleh diam ibarat syaitan bisu, yakni tidak memberitahu kebenaran sedangkan mempunyai pengetahuan dan tanggungjawab untuk menjelaskan perkara sebenar.

“Begitu juga tentang keputusan penjualan saham Proton kepada Geely bagi meredakan keresahan rakyat dan pengkritik ekonomi tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.

Kata beliau lagi, Pemuda UMNO mengambil maklum tentang keputusan penjualan 49.9 peratus saham Proton kepada syarikat China Zhejiang Geely pada minggu lalu dan melihatnya sebagai keputusan perniagaan Proton satu entiti swasta untuk memastikan kelangsungan syarikat nasional tersebut dan ia tidak dipengaruhi oleh Kerajaan. 

0 comments:

Post a Comment